Previu AFC B-23: Vietnam, Uzbekistan Rebut Gelaran Kuasa Baru Bola Sepak Asia

Kehangatan perlawanan akhir Kejohanan AFC B-23 semakin terasa. Tumpuan dan perhatian seluruh Asia pasti aka tertumpu kepada dua pasukan; salah satu daripada mereka akan bergelar juara Asia B-23, iaitu Vietnam dan juga Uzbekistan.

Kedua-dua negara telah mencipta sejarah apabila mampu melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan ini. Sebelum ini, saingan Vietnam mahu pun Uzbekistan tidak pernah melangkaui aksi peringkat kumpulan.

Menuju ke perlawanan akhir, Uzbekistan menyingkirkan cabaran Jepun, yang merupakan juara edisi 2016, 4-1 di peringkat suku akhir. Manakala Iraq yang merupakan juara pada 2013 (ketika itu dikenali sebagai AFC B-22), menerima nasib yang sama kepada Vietnam di peringkat separuh akhir.

Pada kejohanan edisi tahun ini, kedua-dua finalis masing-masing tewas hanya sekali di saingan peringkat kumpulan. Vietnam tewas 2-1 kepada Korea Selatan, namun lawan mereka itu kemudiaannya ditewaskan oleh Uzbekistan di peringkat separuh akhir.

Begitu juga dengan Uzbekistan yang tunduk 1-0 kepada Qatar di saingan Kumpulan A, namun Vietnam kemudiaanya tampil menewaskan Qatar di separuh akhir melalui penentuan sepakan penalti.

Corak permainan yang berbeza

Penganalisa bola sepak menjelaskan bahawa asas kekuatan Vietnam ialah kerana kemahiran bekerja sebagai sebuah unit dan pasukan, skill dan kawalan bola yang menarik, keampuhan di bahagian pertahanan, dan juga kedahagaan untuk mencipta kejayaan.

Anak buah Park Hang-seo menerapkan corak permainan bertahan, dengan formasi 5-4-1 menjadikan 5 pemain pertahanan sebagai sandaran penting, dan menharapkan keupayaan dan kepantasan pemain untuk melakukan serangan balas pantas.

Manakala Uzbekistan beraksi dengan corak permainan menyerang sepanjang kejohanan, menggunakan kepantasan, kekuatan fizikal pemain, dan juga kemampuan teknikal pemain sebagai kelebihan.

Berpaksikan formasi 4-2-3-1, Uzbekistan menggunakan penyerang tunggal, tiga pemain tengah menyerang, dan dua pemain tengah bertahan yang bertindak sebagai ‘double pivot’.

Kelebihan utama mereka ialah memiliki pemain tengah yang bijak dan mempunyai visi untuk menghantar bola untuk memecahkan pertahanan yang memilih untuk bertahan secara mampat.

Rekod data dan statistik

Sepanjang lima perlawanan yang dilalui sejak perlawanan pertama peringkat kumpulan sehingga ke perlawanan separuh akhir, Vietnam sudah menjaringkan 7 gol, namun turut dibolosi dengan jumlah jaringan yang sama.

Manakala Uzbekistan telah menjaringkan 10 gol, dan hanya dibolosi sebanyak 2 kali selepas melalui lima perlawanan.

(Photo by VCG/VCG via Getty Images)

Jika corak permainan yang diambil kira, jumlah gol yang dibolosi oleh Vietnam pasti merungsingkan Park Hang-seo, namun Ravshan Khaydarov turut menyedari bahawa pentas perlawanan akhir akan membawa saingan yang berbeza dengan perlawanan yang mereka telah lalui sebelum ini.

Dua pemain tumpuan yang harus diperhatikan buat kedua- dua pasukan semestinya ialah Nguyen Quang Hai bagi Vietnam yang telah menjaringkan 4 gol sepanjang kejohanan.

Manakala bagi Uzbekistan, tumpuan harus diberi kepada Jasurbek Yakhshiboev yang telah mencetak 3 gol setakat ini.

Vietnam memiliki purata pemain 20.7, dan Uzbekistan turut memiliki purata umur pemain yang hampir sama dengan 20.9. Ini bermakna dari segi pengalaman, kedua-dua pasukan tidak mempunyai banyak perbezaan.

Rekod lampau

Perlawanan yang akan berlangsung pada jam 4:00 petang di Stadium Pusat Sukan Olimpik Changzhou bukanlah kali pertama menemukan kedua-dua pasukan.

Pada bulan lalu, kedua-duanya berentap di dalam kejohanan Piala M150 di Thailand sebagai sebahagian daripada persiapan sebelum Kejohanan AFC B-23 ini.

Uzbekistan menewaskan Vietnam 2-1 dalam kejohanan tersebut, sebelum skuad kendalian Ravshan Khaydarov  menundukkan Jepun di perlawanan akhir.

Manakala Vietnam yang ditewaskan oleh Uzbekistan, bangkit menewaskan Thailand untuk mengakhiri kejohanan di tempat ke-3.

Zabikhillo Urinboev dan juga Nguyen Cong Phuong yang masing-masing menjaringkan 4 gol sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut pasti mahu menjadikan perlawanan akhir pada petang ini sebagai medan membuktikan ketajaman masing-masing.

Rumusan

Cuaca sejuk yang melanda bandar ChangZhou yang terletak di wilayah Jiangsu, China menyebabkan perlawanan mungki diadakan di dalam keadaan bersalji.

Namun demikian ia tidak akan menghalang kehangatan yang melanda penyokong dari kedua-dua buah negara, serta peminat bola sepak dari seluruh Asia untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala AFC B-23.

Bagi Vietnam, barisan pemain dan juga jurulatih Park Hang-seon sudah dianggap seperti wira di Vietnam.

Begitu juga dengan Ravshan Khaydarov dan anak buahnya, setelah bola sepak Uzbekistan sepi daripada sebarang kejuaraan peringkat serantau sejak sekian lama. Impak terbaik bola sepak Uzbekistan di peringkat Asia ialah tempat ke-4 Piala Asia 2011 di Qatar.

Siapa pun yang akan menjuarai Piala AFC B-23 2018, kita hanya mengharapkan kedua-dua pasukan menampilkan permainan yang menarik untuk disaksikan.

Selamat maju jaya buat Vietnam dan Uzbekistan!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN