Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner mahu pasukannya tampil lebih agresif pada aksi seterusnya membabitkan Sang Penyu bertemu Selangor pada malam ini di gelanggang lawan untuk aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023.
Beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pastinya Steinbruckner menyedari cabaran bakal dihadapi mereka kerana lawan berkelebihan untuk mendapat sorakan padu daripada penyokong setia The Red Giants.
⚪️⚫️ PIALA MALAYSIA SUKU AKHIR 2 ⚫️⚪️
Terengganu FC lwn Selangor FC
🗓 24 September 2023
🕰 9.00 Malam
🏟 Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pic.twitter.com/jVdd5RahFw— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) September 23, 2023
Malah, Selangor juga dianggap memiliki kelebihan tempoh rehat lebih lama berbanding Terengganu yang masih segar dengan perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
Walaupun begitu, momentum semasa Sang Penyu juga kini dalam keadaan baik selepas mereka baru sahaja melakar kemenangan bagi aksi Piala AFC lalu sewaktu menewaskan Central Coast Mariners menerusi keputusan 1-0.
Tambahan pula, Terengganu juga masih memiliki kelebihan dua jaringan ketika aksi suku akhir pertama lalu ketika Ivan Mamut dan Syahmi Zamri memastikan Sang Penyu mencatat kemenangan sewaktu berdepan Selangor.
Menurut pengendali dari Croatia itu, mereka tidak bercadang untuk beraksi secara bertahan bagi memastikan dua jaringan sebelum itu sebagai suatu kelebihan buat Sang Penyu.
Sebaliknya, beliau mahu menerapkan corak permainan secara lebih agresif untuk memastikan Selangor terperangkap di gelanggang sendiri pada aksi malam ini.
Selain itu, pengendali berpengalaman tersebut juga menyatakan tentang kelebihan gol awal sangat penting untuk memastikan pasukan lawan terus tertekan bagi menuju ke separuh akhir.
“Saya jangkakan pertarungan yang sengit dan sukar bakal menanti kami lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan selain Selangor FC mahukan sekurang-kurangnya tiga jaringan.
“Kami akan cuba menerapkan corak permainan lebih agresif dan perlu bijak menyusun taktikal bagi memastikan pemain lawan tidak mempunyai ruang dan masa untuk melakukan asakan.
“Jaringan awal juga begitu penting buat kami biarpun kini mendahului kerana ia bakal memberikan semangat dan kekuatan kepada pemain untuk menamatkan aksi 90 minit,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
🏴🏳️ #PIALAMALAYSIA2023 PERLAWANAN SUKU AKHIR KEDUA🏴🏳️
SELANGOR FC VS TERENGGANU FC
📆 24September 2023 – AHAD
⏰ 9.00 pm
🏟 Stadium MBPJ#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/tJJCUrWEe6— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) September 21, 2023
Pada masa sama, Steinbruckner juga menjelaskan situasi pertahanan import mereka iaitu Sardor Kulmatov masih lagi belum pulih untuk dpertaruhkan pada aksi malam ini.
“Bagaimanapun kami lega kerana tiada pemain yang digantung perlawanan, cuma Kulmatov tidak dapat beraksi manakala Adisak Kraisorn dan Jordan Mintah tidak bersama pasukan ke Selangor pada kali ini,” katanya akhir sekali.