Pertarungan terakhir untuk slot penentuan ke ACL musim hadapan akhirnya terlerai pada hari terakhir.
Perak telah membuka talian hayat kepada Pahang dan Terengganu untuk mendapat tempat kedua selepas mereka tewas 4-1 di tangan PKNS FC.
Perak ke pusingan kelayakan ACL
Perak sah menjadi naib juara Liga Super 2018 walaupun hanya perlu duduk di rumah pada malam terakhir Liga Super. Sekaligus menawarkan tempat ke kelayakan ACL 2019 untuk mereka.
Ini selepas 2 pesaing mereka yang turun beraksi malam ini gagal mencipta kemenangan di tempat sendiri.
(Nota editor: Pahang digantung ke pertandingan Asia musim hadapan dan masih belum mengemukakan sebarang rayuan)
Terengganu diratah Selangor di hadapan penyokong sendiri
Terengganu gagal menang di tempat sendiri dalam pertemuan menentang pasukan Selangor. Mereka sedar, hanya kemenangan yang akan membolehkan mereka merebut tempat kedua sambil mengharapkan Pahang gagal mendapatkan kemenangan.
Selangor meranapkan impian pasukan Terengganu untuk menjadi naib juara liga dengan kemenangan 0-2.
2 gol Selangor dijaringkan pada separuh masa kedua menerusi Syahmi Safari pada minit ke-71. Dan pada minit ke-81, Rufino Segovia meneruskan aksi tajam di hadapan gol dengan gol kedua.
Terengganu menamatkan Liga Super 2018 di tangga ke-5, manakala pasukan Selangor di tangga ke-8.
Kelantan ke Piala Malaysia 2018
Kelantan berjaya menjadi pasukan terakhir yang menempatkan diri dalam Piala Malaysia 2018.
Ini selepas mereka mengejutkan pasukan Pahang di Kota Bharu. Daniel Ashraf meletakkan The Red Warriors di hadapan pada minit ke-42.
Selepas bergelut untuk mendapatkan gol, Pahang akhirnya menjaringkan gol penyamaan menerusi Iwuji Amuthu, selepas menerima hantaran lintang Matthew Davies.
Daniel Ashraf sekali lagi cemerlang apabila mencipta gol untuk Shafiq Shaharudin pada minit ke-77. Kelantan berjaya memastikan kemenangan ke-4 mereka musim ini dipertahankan dan mengatasi Negeri Sembilan dengan 3 mata untuk persaingan ke Piala Malaysia.
Ini adalah kedudukan semua pasukan selepas tamat saingan Liga Super musim. Selamat tinggal Liga Super 2018, berjumpa lagi dalam Liga Super 2019.