MSL 2018: Kim Sang Woo Sumbang 2 Gol Untuk PKNP FC Jinakkan Kedah

Kim Sang Woo

PKNP FC berjaya menutup saingan unifi Liga Super 2018 dengan nota kemenangan apabila menundukkan Kedah dengan keputusan 3-1 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Dua gol daripada pemain tengah, Kim Sang Woo membantu PKNP FC meraih kemenangan selepas gagal meraih tiga mata berharga di dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Ini juga merupakan kemenangan ketiga di laman lawan buat PKNP FC selepas kali terakhir melakukannya pada 14 Julai lalu menumbangkan pasukan relegasi, Negeri Sembilan.

Kedah turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Paulo Rangel, Andik Vermansyah dan juga Baddrol Bakhtiar dengan Sandro dilihat menjadi nadi penggerak jentera serangan.

Sementara PKNP FC pula meletak sandaran kepada Fandi Ahmad untuk mengasak kubu tuan rumah, menggantikan pemain yang kerap disenaraikan sebelum ini, Franklin Anzité.

Separuh masa pertama

Minit ke-8, PKNP FC hampir mengejutkan Kedah namun penjaga gol, Mohd Ramadhan Hamid berjaya menyelamatkan bola yang terbias dari Syazwan Tajuddin di depan gawangnya itu.

15 minit pertama, PKNP FC tampak lebih banyak mengasak dan tuan tumah pula bergelut dengan kombinasi pemain di final third walaupun memiliki hantaran-hantaran yang baik.

Ramadhan sekali lagi berjaya menafikan peluang boleh gol oleh pasukan pelawat apabila berjaya menepis keluar lambungan jarak jauh oleh Ibni Khozaimi pada minit ke-23.

Seminit kemudian, akhirnya PKNP FC berjaya menewaskan Ramadhan selepas tiga kali mencuba apabila pertahanan, Ritus Krjauklis berjaya menjaringkan gol pertama.

Ia berpunca daripada hantaran rendah Ibni Khozaimi yang disudahkan oleh sentuhan belakang Krjauklis untuk gol ke-4 peribadinya dalam saingan liga musim ini.

Pada minit ke-33, pemain tengah, Kim Sang Woo menambah derita Kedah apabila berjaya menanduk masuk gol kedua PKNP FC selepas menerima hantaran daripada sepakan penjuru.

Ini merupakan kali pertama Kedah ketinggalan 2 gol kepada PKNP FC dalam sejarah 3 pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini bermula pada musim 2017 yang lalu.

Sepakan deras kaki kanan Sandro pada minit ke-42 sekadar menggegar gawang yang dikawal oleh Syazani Mat Puat dan itu adalah percubaan pertama oleh tuan rumah.

Separuh masa kedua

Lima minit memasuki babak kedua perlawanan, kapten, Sandro berjaya meledak gol pertama tuan rumah menerusi sepakan percuma yang diambilnya dari luar kotak penalti.

Ia adalah gol ke-8 Sandro dalam saingan liga musim ini buat Helang Merah dalam 13 penampilan kesebelasan utama.

Rembatan penyerang sensasi, Akhyar Rashid di depan gol pada minit ke-56 berjaya dinafikan oleh Syazani selepas menerima hantaran silang daripada bahagian sayap kanan.

Namun, pada minit ke-64, Kim Sang Woo sekali lagi berjaya menjaringkan gol buat PKNP FC menerusi sepakan percuma yang diperolehi di dalam kawasan gol tuan rumah.

Gol ke-4 peribadi Kim Sang Woo dalam saingan liga itu diperolehi selepas penjaga gol Kedah, Ramadhan tersilap menangkap bola yang dihantar oleh pertahanannya sendiri.

PKNP FC menjadi pasukan ketiga yang berjaya meledak 3 gol di Darul Aman selepas Negeri Sembilan dan Perak dengan Negeri Sembilan kali terakhir melakukannya pada 1 Mei lalu.

Kedah seperti hilang sengat yang mereka perolehi seawal babak kedua selepas gol ketiga pelawat itu. Kebangkitan yang cuba dijelmakan kian tenggelam disulam asakan lawan.

Pengadil perlawanan, Ku Alauddin Ku Muhammad akhirnya menamatkan perlawanan dengan Helang Merah tumbang 1-3 kepada PKNP FC di hadapan penyokong sendiri.

Ini merupakan perlawanan kelima berturut-turut tanpa 3 mata buat Kedah dan kekalahan kelima mereka di Darul Aman. Kedah menutup saingan di tangga ke-6 Liga Super musim ini.

Sementara itu, PKNP FC pula berjaya memintas Kuala Lumpur di kedudukan ke-9 liga dengan 25 mata, hanya dibezakan 1 mata dengan Kuala Lumpur di kedudukan ke-10.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN