Terengganu FC (TFC) dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) hari ini menyerahkan projek penukaran padang kepada RS Greenmaster di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Program itu menyaksikan TFC menjadi perintis dalam usaha MFL meningkatkan kualiti padang venue semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, beliau mendedahkan program itu terbuka kepada semua pasukan di mana mereka perlu mengemukakan permohonan kepada MFL sebelum sepak mula Liga Malaysia.
Kata Kevin, TFC telah menunjukkan minat dan memohon untuk menjadi perintis projek penukaran padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan program tersebut dijangka selesai dalam tempoh empat bulan.
Jelasnya, komitmen tinggi dan usaha yang ditunjukkan TFC, kerajaan negeri Terengganu dan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di bawah Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu bakal meletakkan pasukan gergasi Pantai Timur itu berada dalam landasan terbaik untuk menjadi contoh sebuah lagi pasukan yang berjaya menstrukturkan diri mereka semula untuk berjaya secara teknikal dan komersial selepas fenomena Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah bermula pada 2013.
“TFC sentiasa memberikan sokongan yang baik kepada inisiatif-inisiatif yang cuba dilakukan oleh MFL dan apa yang kita dapat lihat bahawa mereka melakukan satu usaha yang amat besar untuk struktur TFC bagi menjadi salah satu gergasi bola sepak Malaysia dalam jangka masa panjang.
“MFL berbangga dapat menyokong TFC sebagai perintis pada program MFL untuk memastikan kualiti padang bola sepak berada di tahap tertinggi untuk menggalakkan persembahan teknikal atas padang yang lebih baik dan menjadikan persembahan perlawanan Liga Malaysia yang boleh dibanggakan khusus untuk tontonan penyokong.
“Dengan kejayaan program ini, MFL dapat melihat proses-proses yang perlu dilaksanakan MFL dengan mengambil kira pemilikan stadium, kerajaan negeri dan lain-lain.
“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan Jabatan Kerja Raya yang telah memberikan kerjasama baik bagi menjayakan program ini terutama TFC yang sedia menjadi perintis percubaan untuk program ini,” katanya.
Buat masa ini, TFC yang bertanding dalam Liga Super menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebagai gelanggang rasmi mereka dan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu dijangka akan menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkapasiti 50,000 penonton bagi kempen Piala Malaysia selepas projek menaiktaraf padang itu siap.
Kevin berharap projek bersama TFC itu dapat membuka mata lebih ramai pihak dalam usaha meningkatkan kualiti padang venue di Liga Malaysia.
“Saya berharap bila program ini berjaya, kita boleh perluaskan kejayaan ini kepada banyak lagi padang-padang bola sepak di masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil merakamkan penghargaan tinggi kepada Pengerusi MFL, DYMM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selepas wakil Pantai Timur itu diberikan kepercayaan tinggi bagi projek perintis tersebut.
Beliau yang sebelum ini terharu apabila Tunku Ismail memuji dan memberikan perhatian kepada usaha PBSNT meningkatkan fasiliti, mengakui semakin bersemangat untuk membangunkan infrastruktur moden sama seperti JDT.
“Pertama, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail di atas kepercayaan untuk membenarkan TFC menjadi projek perintis ini dan sememangnya baginda adalah pemimpin bola sepak terbaik negara.
“Bagi pihak PBSNT, kami sudah bersedia untuk meningkatkan tahap kemudahan, venue dan fasiliti lain-lain. Saya yakin dengan peluang diberikan MFL ini, PBSNT akan berusaha untuk melaksanakannya kerana saya percaya PBSNT sebenarnya memiliki keupayaan untuk meningkatkan taraf venue kepada lebih baik,” katanya.