Presiden La Liga, Javier Tebas berkata beliau tidak mahu Neymar kembali beraksi bersama mana-mana kelab Sepanyol dan menganggap sikap pemain itu di luar padang membawa pengaruh tidak baik untuk bola sepak.
Pemain antarabangsa Brazil itu meninggalkan Barcelona dua tahun lali untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dengan nilai rekod dunia €222 juta. Kini khabar angin mengatakan Neymar mahu kembali menyertai kelab Catalan itu.
“Kami sentiasa mahukan pemain dan jurulatih terbaik di La Liga. Semakin ramai, maka semakin rancak pertandingan itu,” ujar Tebas ketika bercakap kepada siaran radio Onda Cero di Sepanyol.
“Berkenaan Neymar, saya berpendapat sikap beliau di luar padang sangatlah tidak sesuai [sebagai pemain profesional]. Ia tidak sihat untuk pertandingan [La Liga].”
Pemain berusia 27 tahun itu harus menjalani hukuman gantung sebanyak tiga perlawanan pada musim hadapan selepas bertindak menumbuk buka seorang penyokong Rennes selepas perlawanan akhir Coupe de France pada Mei lalu.
“Akhir sekali cerita yang dikisahkan ialah pemain dari kelab ini telah melakukan perkara ini dan perkara itu. Di sini kami bekerja keras demi memberikan imej yang baik kepada La Liga. Kami mahu perkara [nilai] tersebut dikekalkan.”
Tebas juga berkata tindakan La Liga menghalang penjualan Neymar ke PSG pada 2017 adalah kerana PSG bertindak melanggar peraturan FFP.
Bagaimanapun Neymar tetap meninggalkan Barcelona untuk menyertai PSG. Perpindahan tersebut menurut Tebas, sedikit sebanyak memberikan impak kepada La Liga.
Pada pertengahan bulan lalu, Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi berkata beliau mahukan sikap persis selebriti atau ‘diva’ oleh pemain-pemain di kelab tersebut ditamatkan segera dengan kembalinya Leonardo sebagai Pengarah Sukan kelab tersebut.
“Pemain-pemain harus sedar akan [sikap] tanggungjawab masing-masing lebih serius dari sebelum ini,” ujar Al-Khelaifi.
“Mereka harus berusaha melakukakan [mengubah] lebih banyak perkara, dan bekerja lebih keras. Mereka bukan datang ke sini untuk melakukan perkara mengikut kehendak mereka sendiri.
“Jika mereka tidak bersetuju, maka pintu sentiasa terbuka. Ciao! Saya tidak mahu ada sikap seperti selebriti di kelab ini lagi.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pemain, kenyataan terebut dipercayai ditujukan kepada Neymar. Ini menyebabkan spekulasi pemain itu akan kembali ke Barcelona bermula kembali, selepas turut dikaitkan dengan Real Madrid sebelum itu.