Sarawak United terus mencipta kontroversi musim ini dalam kancah bola sepak Malaysia, walaupun kini mereka tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Super tahun 2023.
Terbaharu, dilaporkan pasukan tersebut masih memiliki baki tunggakan hutang yang belum diselesaikan dan jumlah keseluruhan hampir mencecah kepada RM1 juta dengan melibatkan pemain serta pegawai terlibat.
Walaupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah pun mengeluarkan arahan supaya Sarawak United melangsaikan baki hutang, pasukan tersebut kekal berdiam diri tanpa membuat sebarang tindakan.
Dilaporkan kini, dua bekas pemain import Sarawak United iaitu Taylor Regan serta Sandro Mendonca bersama B. Satiananthan masih lagi menagih baki hutang belum diselesaikan oleh pasukan tersebut.
Regan yang menyertai Sarawak United pada musim 2021 menyatakan pasukan tersebut masih mempunyai baki hutang sebanyak RM541,000 dan masih belum dijelaskan sehingga kini.
Pemain tersebut jelas sangat kecewa dengan situasi terkini yang tidak memihak beliau dan menggesa supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masuk campur untuk menyelesaikannya.
“Pengurusan pasukan tersebut perlu menyelesaikan isu hutang tersebut dan FAM sepatutnya membatalkan lesen mereka untuk menyerahkan kepada kerajaan negeri.
“Ini juga merupakan sesuatu yang diingini sendiri oleh para penyokong, mereka mahu pasukan yang sebenar dikembalikan dan diuruskan oleh kerajaan negeri.
“Pengurusan kelab lain bertungkus lumus untuk membina reputasi yang baik buat bola sepak Malaysia di Asia, tetapi pengurusan di sini tidak profesional dan membuatnya kelihatan sangat teruk.
“Kenapa FAM tidak membantu mereka yang sepatutnya ini dilindungi?” jelas Regan yang tidak berpuas hati menerusi petikan The Star.
Taylor Regan Tamatkan Baki Kontrak Dan Heret Sarawak United Ke FIFA
Mengenai Sandro Mendonca pula, pemain ini sudah pun mendapat bayaran sebanyak RM42,000 pada September lalu, tetapi pengurusan kelab masih mempunyai baki hutang berjumlah RM113,416.
“Saya setuju dengan Taylor, dan saya mahu pengurusan membayar baki hutang dan FAM turut mengambil tindakan sewajarnya.
“FAM perlu bertanggungjawab untuk melindungi atlet serta memastikan kelab menjalankan kerja mereka sebaik mungkin untuk menjadikan Liga Malaysia (Liga M) terus dihormati di Asia serta serata dunia.
“Ianya mudah untuk FAM mengetepikan Sarawak United daripada persaingan utama liga, tetapi yang merana pemain bukannya pengurusan,” luah Sandro akhir sekali.
Apapun, diharap Sarawak United dapat menyelesaikan perkara ini sebelum ianya menjadi lebih teruk serta menjatuhkan reputasi bola sepak Malaysia di peringkat global.