“Saya harap penyerang kita akan menjawab segala kritikan esok (malam ini),” ujar ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam sidang media pra perlawanan, kelmarin.
Malaysia akan turun menentang Fiji pada malam ini di Stadium Cheras untuk satu aksi persahabatan dan persediaan menjelang Piala AFF 2018 pada penghujung tahun.
“Kritikan mengatakan kita lemah di serangan kerana mereka tidak mendapat minit perlawanan dalam saingan liga akibat pasukan gemar menggunakan penyerang import,” ujarnya.
Jadi, Cheng Hoe mengharapkan barisan serangan yang bakal diturunkannya pada malam ini akan mampu untuk sekurang-kurangnya menutup mulut para pengkritik.
Mungkin harapannya adalah para pemain akan dapat mengulangi aksi yang dipamerkan pada perlawanan persahabatan April lalu, di mana Malaysia berjaya menang bergaya 7-0.
Gol-gol Malaysia ketika itu telah dijaringkan oleh Wan Zack Haikal, Irfan Zakaria, Syafiq Ahmad dan dua gol Zaquan Adha. Ianya selepas melalui 12 perlawanan tanpa kemenangan.
Namun, dengan perkhabaran bahawa Zaquan masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan, besar kemungkinan jentera serangan akan digerakkan oleh Syafiq Ahmad.
Disamping itu, Cheng Hoe turut menggariskan yang dia ingin melihat peningkatan daripada para pemain dan turut ingin menguji kombinasi-kombinasi baharu.
“Kita ingin menguji beberapa kombinasi dan akan melihat sejauh mana pembentukan kesefahaman antara pemain,” Cheng Hoe dipetik berkata kepada media oleh Goal.
Baginya penting para pemain untuk membentuk kesefahaman menjelang AFF nanti. Menjelang September atau Oktober, Cheng Hoe berharap akan mengenalpasti pilihan utamanya.
“Kita mahu ambil peluang ini untuk menguji para pemain tetapi ini bukanlah senarai akhir dan kita juga ada berkira-kira untuk membawa pemain lain,” jelasnya lagi.
Cheng Hoe juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil Shahrel Fikri, Curran Ferns dan Farizal Marlias pada masa akan datang. Shahrel dan Curran kini beraksi di Thai League 1.
“Mereka masih dalam pemantauan. Kita tahu Curran sedang beraksi di liga Thailand tetapi saya ada pemain lain yang boleh bermain seperti yang saya mahu.
“Untuk Farizal pula, dia adalah penjaga gol berpengalaman dan mungkin saya akan memanggilnya pada masa akan datang,” komen Cheng Hoe kepada Goal.