Tan Cheng Hoe: Antara Kejayaan Lalu, Harapan Penyokong & Masa Depan Bola Sepak Negara

Tan Cheng Hoe adalah ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu. Perlantikan tersebut tiba selepas dua hari bola sepak negara digemparkan dengan pengunduran ketua jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada.

Vingada yang kini telah berusia 64 tahun memutuskan untuk berundur selepas bergelar pengendali skuad kebangsaan lebih kurang 5 bulan.

Sepanjang tempoh itu, Vingada gagal memberi kemenangan dalam kesemua 7 perlawanan yang dikendalikannya sejak perlantikan beliau diumumkan pada Jun lalu.

Perletakkan jawatan oleh Vingada lantas mencetuskan persoalan baru di kalangan pengikut bola sepak tanah air. Siapa yang bakal mengambil alih selaku pengendali skuad Harimau Malaya?

Perlukah kita menyaksikan satu lagi nama asing diberikan tanggungjawab mengemudi skuad negara? Atau adakah lebih wajar untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beralih kepada individu yang lebih memahami situasi kritikal bola sepak negara?

Soalan itu pantas dijawab oleh FAM pada malam tadi. Tidak mahu membuang masa, penolong jurulatih kepada Vingada dari skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe pantas dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad negara yang baru.

Sumber: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Facebook

Pengenalan: Siapa Tan Cheng Hoe?

Bagi yang setia mengikuti perkembangan bola sepak di dalam negara, nama Tan Cheng Hoe tidak perlu diperkenalkan lagi.

Dalam satu kajian ringkas yang kami lakukan di media sosial, nama Tan Cheng Hoe adalah pilihan ramai untuk menjadi pengganti kepada Nelo Vingada.

John Duerden dalam tulisannya di majalah Four Four Two pernah menyifatkan Tan Cheng Hoe sebagai salah seorang prospek jurulatih yang mampu mengubah masa depan bola sepak negara.

Penampilan beliau sentiasa kemas. Berperwatakan serius. Sasaran kerjanya ialah kejayaan. Perkara tersebut dibuktikan ketika beliau membawa Kedah FA bangkit menjadi salah satu kuasa bola sepak tanah air.

Tan Cheng Ho
Sumber: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Facebook

Arkitek kebangkitan Kedah FA

Tan Cheng Hoe mengambil alih jawatan pengendali Kedah FA pada musim 2014. Pada ketika itu, Kedah masih beraksi di Liga Perdana Malaysia (kini 100PLUS Liga Premier).

Musim pertama bersama Kedah, Cheng Hoe membawa Kedah menduduki tangga ke-4 liga. Musim berikutnya, hasil kerja jurulatih yang kini meniti usia 49 tahun mulai membuahkan hasil.

Kedah menjuarai 100Plus Liga Premier pada musim berikutnya, sekaligus melayakkan diri ke pertandingan Liga Super 2016 dan melayakkan diri ke pentas akhir pertandingan Piala Malaysia pada musim yang sama sebelum dikecewakan oleh Selangor.

Musim 2016, Tan Cheng Hoe semakin menyerlah bersama Kedah. Mengakhiri saingan Liga Super di tangga ke-3 dan berjaya memastikan Kedah bergelar juara Piala Malaysia 2016, adalah bukti jurulatih muda ini adalah salah seorang jurulatih yang wajar diberikan perhatian.

Photo by Dzulfadlil Azim / www.asiana.my

Pengalaman di peringkat antarabangsa

Sebelum menyertai barisan kejurulatihan di bawah kendalian Nelo Vingada, Tan Cheng Hoe juga bukan watak yang asing di dalam FAM.

Sebelum menyertai Kedah FA pada 2014, Tan Cheng Hoe merupakan pembantu jurulatih kepada Datuk K.Rajagopal di dalam skuad negara di antara 2009 sehingga 2013.

Falsafah bola sepak Tan Cheng Hoe

Falsafah taktikal Tan Cheng Hoe memang menarik. Ketika masih bergelar pengendali pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe ialah jurulatih tempatan yang terbukti mempunyai kefahaman falsafah bola sepak moden.

Ketika revolusi taktikal bola sepak berpaksi kepada nama seperti Pep Guardiola, formasi moden 4-2-3-1 sangat menjadi pilihan ramai jurulatih.

Anda boleh baca artikel kami Menghurai Formasi Taktikal 4-2-3-1 Moden

Formasi ini menjadi asas kepada taktikal gegenpressing di Dortmund dan juga formasi yang memberikan kejayaan kepada Jose Mourinho ketika di Real Madrid.

Walaupun Pep Guardiola memiliki banyak set formasi di dalam perlawanan, namaun 4-2-3-1 antara formasi penting di dalam poket beliau.

Realiti di Malaysia, di kala jurulatih lain masih terikat dengan taboo 4-4-2 ataupun 4-3-3, Tan Cheng Hoe mengambil pendekatan 4-2-3-1.

Ketika masih bersama Kedah, beliau membuktikan, beliau ada kajian yang baik tentang formasi ini.

Setelah dilantik sebagai ketua jurulatih dan berkuasa sepenuhnya untuk menerapkan taktikal dan ilmu yang dimiliki beliau, ia pasti satu perkara yang dinanti-nantikan untuk melihat perubahan yang bakal ditampilkan oleh Tan Cheng Hoe bersama skuad kebangsaaan.

Tugas berat menanti Tan Cheng Hoe

Bola sepak Malaysia berada di tahap terendah pada hari ini. Jangan nafikan. Ranking terkini FIFA yang melihat Malaysia berada di kedudukan ke-174 dunia adalah bukti, tindakan drastik amat diperlukan.

Tanpa menidakkan perancangan FAM, khususnya oleh Presiden FAM, DYAM Tunku Ismail, sasaran jangka masa pendek juga harus dirangka bagi memastikan maruah bola sepak negara tidak terus dicalar.

Kredit Foto: Facebook HK League.

Pemilihan Tan Cheng Hoe sebagai pengendali skuad kebangsaan menggantikan Nelo Vingada dianggap sebagai langkah yang bijak.

Berdasarkan pengalaman lalu, Tan Cheng Hoe adalah jurulatih yang mempunyai pengalaman di dalam kancah bola sepak tempatan, memahami selok belok dan budaya bola sepak Malaysia, mengenali kemampuan kelompok pemain sedia ada, dan sepatutnya sudah biasa dengan persiapan untuk tugasan antarabangsa.

Tetapi sebagai penyokong, kita harus realistik. Bukan apa yang kita capai pada hari ini yang harus menjadi keutamaan.

 

Malah lebih daripada itu, ialah untuk membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang serba serbi lengkap dan mempunyai DNA bola sepak tersendiri untuk pergi lebih jauh di saingan antarabangsa.

Tan Cheng Hoe pernah melakukan perkara ini bersama Kedah. Sudah pasti kita mengharapkan perkara yang sama pada beliau untuk skuad kebangsaan.

Tugasan antarabangsa pertama yang bakal menanti Tan Cheng Hoe ialah kejohanan peringkat serantau, Piala AFF Suzuki pada tahun hadapan.

Sumber: NSTP/Effendy Abd Rashid

Untuk kejohanan yang akan diadakan pada penghujung tahun hadapan, Tan Cheng Hoe mempunyai tempoh setahun untuk melakukan persiapan.

Penyokong bola sepak harus jangan cepat teruja. Namun demikian Piala AFF Suzuki 2018, adalah pentas terbaik untuk Tan Cheng Hoe mulai melakar kebangkitan bola sepak negara.

Penyokong bola sepak negara rata-rata sudah terlalu dahagakan kejayaan. Malu itu biasa. Bangga itu sudah lama dahulu. Tetapi kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha keras.

Rumusan

Artikel ini sangat mudah disimpulkan. Rata-rata kita sedar akan realiti bola sepak negara pada hari ini. Hanya orang gila mengharapkan kejayaan pada hari esok. Mengkritik semata-mata tidak memberikan hujan di tengah kemarau.

Namun demikian, sebagai sebuah negara yang cintakan bola sepak, kita punyai maruah untuk dipertahankan. Sebagai penyokong, kita mengharapkan maruah itu diperjuangkan.

Pelepasan jawatan oleh Nelo Vingada ibarat menekan ‘reset button’. Jauhkan keterujaan, hadapi realiti. Perjuangkan maruah negara.

Sebarang usaha perlu diambil melalui langkah pertama. Langkah pertama ialah dengan melantik Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, harus dianggap sebagai permulaan.

Satu perkara yang pasti ialah, kita tidak boleh gagal untuk terus berharap. Begitu juga kita tidak harus gagal untuk terus berusaha.

Kami di Semuanya BOLA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya buat ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

 

Nota editor: Artikel ini merupakan pendapat penulis semata-mata dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN