Cheng Hoe bukan nama asing buat peminat-peminat bola sepak tempatan kerana beliau memiliki pengalaman luas ketika menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal dan Nelo Vingada bersama pasukan kebangsaan selain membimbing pasukan Kedah memenangi Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 serta Piala Sumbangsih 2017.

Bercakap kepada kosmo, Cheng Hoe mengakui beliau bersemangat untuk membantu Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim biarpun menyedari memikul tanggungjawab besar untuk memulihkan reputasi bola sepak negara.

“Pertama, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Tunku Presiden kerana memberikan kepercayaan kepada saya menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

“Saya agak terkejut, tetapi apa yang pasti, saya akan beri yang terbaik nanti.

“Saya perlukan masa untuk mengembalikan maruah pasukan kebangsaan. Mengenai perancangan (perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon pada Mac depan) masih terlalu awal ke­rana biarlah saya mengadap Tunku Pre­siden terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Harapan hanya satu, saya mahu mengembalikan semula ‘ngauman’ Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tan Cheng Hoe bersama Nelo Vingada ketika mengendalikan pasukan kebangsaan.

Vingada melepaskan jawatannya sebagai tanda bertanggungjawab di atas kemerosotan prestasi pasukan kebangsaan selepas gagal menghadirkan kejayaan apabila tewas enam kali dan seri sekali sejak dilantik oleh FAM pada Mei lalu.

“Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang telah berlaku itu, saya dengan ini mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta merta dan Tunku Presiden sendiri turut telah menerima keputusan yang saya buat ini,” kata kenyataan rasmi daripada Nelo Vingada.

Selain Vingada, pembantunya turut melepaskan jawatan mereka selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad Harimau Malaya.

“Saya ingin memaklumkan juga bahawa dua pembantu yang saya bawa bersama ke sini iaitu Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa turut bersama melepaskan jawatan mereka, masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan,” jelasnya.

Skuad negara bakal menamatkan aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon pada Mac depan sebelum bermain di kejohanan Piala AFF Suzuki yang dijangka berlangsung pada November depan.