Merungkai Taktik Zainal: Adakah Pahang Merupakan Stoke City versi Malaysia?

Perlawanan antara Pahang dengan pendatang baru Piala AFC dari Filipina, Global FC merupakan perlawanan menarik untuk dikaji kerana buat kali pertamanya kami dapat melihat Pahang bermain tanpa Dickson Nwakaeme pada 2015.

Dickson Nwakaeme merupakan watak penting dalam jentera serangan Pahang. Malah kami merasakan, untung nasib Pahang bergantung sama ada orang besi dari Nigeria ini berada di padang atau tidak. Untuk mengkaji hipotesis ini, kami menonton perlawanan Pahang malam semalam. Kami merasakan perbandingan ini penting kerana sebagai antara pasukan direct (akan kami jelaskan apa dan kenapa), kami mahu melihat sama ada stail permainan sebegini boleh dilaksanakan oleh penyerang tempatan atau tidak.

11018916_863430230384339_3671324854934423705_n

Tambahan pula apabila isu kemarau penyerang tempatan berwibawa semakin galak dibincangkan memandangkan kempen Piala Dunia 2018 akan bermula hari ini.

Mencari falsafah bola sepak Pahang

Zainal Abidin Hassan merupakan jurulatih bola sepak tidak perlu diberi pengenalan lagi. Lagenda pemain kebangsaan dan antara jurulatih tempatan paling prolifik – Zainal mempunyai pengalaman dan pingat kemenangan untuk membuktikan autoritinya dalam bola sepak.

10857122_862822260445136_1775922807762026275_o

Sepanjang karier pengurusannya, Zainal pernah bekerja di bawah Dollah Salleh dan Ron Smith sebagai penolong ketua jurulatih. Dua ketua jurulatih Pahang yang mempunyai dua falsafah bola sepak yang berbeza bagai langit dan bumi.

Seperti yang disaksikan jutaan rakyat Malaysia semasa Piala AFF Suzuki 2014 yang lepas, Dollah Salleh gemar pasukannya berdisiplin ketika bertahan, laju dan mengutamakan serangan balas (counter-attack). Maksud berdisiplin ketika bertahan dalam falsafah Dollah Salleh bukanlah mengelak amaran pengadil dan kad kuning, tetapi lebih kepada disiplin pada aspek organisasi pertahanan. Setiap pemain mempunyai pemain untuk dikawal (marking) dan semua pemain (termasuk pemain sayap) perlu membantu pemain pertahanan (tracking back).

Apabila pemain Dollah dapat merampas bola, mereka akan membuat hantaran jauh (direct passing) kepada penyerang yang menunggu untuk melancar serangan balas. Transisi serangan yang laju ini selalu menghasilkan gol seperti yang dibuktikan oleh Bradford City ketika menewaskan Chelsea (di FA Cup) dan setiap pasukan yang diuruskan oleh Tony Pulis (paling terkenal Stoke City).

Falsafah bola sepak Ron Smith pula lebih flamboyant. Smith gemar pasukannya menyimpan bola (keeping possession) sebagai cara untuk bertahan. Jika pasukan lawan tak dapat bola, mereka tak dapat menyerang bukan? Transisi serangan pasukan Smith lebih perlahan kerana hantaran dekat digunakan. Untuk merungkai pertahanan lawan, pasukan Smith menggunakan gabungan hantaran pendek, gerakan tanpa bola (off the ball movement) dan kreativiti perancang (playmaker).

Antara Dollah Salleh dan Ron Smith, falsafah bola sepak siapa yang Zainal gunakan ketika ini? Kami rasa anda tahu jawapannya.

Baca: Bagaimana Formasi 4-4-2 Diamond Berfungsi

Taktik ringkas, mudah tetapi efektif

Selepas mengambil alih dari Ron Smith, Zainal meringkaskan taktik Pahang. Berbalik kepada formasi 4-4-1-1, meletakkan organisasi dan disiplin bertahan sebagai keutamaan, Pahang kembali kepada asas taktik bola sepak.

Memandangkan Pahang tidak dikurniakan pertahanan yang laju (selain Abdul Aziz Ismail, hampir kesemua pertahanan Pahang sudah berumur 30 tahun ke atas), Zainal sentiasa mengarahkan 4 pertahanan dan 2 pemain tengahnya untuk kekal di kubu mereka (sit deep) dan kekal di posisi masing-masing (retain shape). 6 pemain ini ditugaskan oleh Zainal untuk mengekalkan organisasi mereka dan menyerap tekanan pasukan lawan.

Di platfom yang kukuh ini, Zainal meletakkan penyerang yang tidak laju tetapi hebat menghubungkan unit pertahanan dengan unit serangan di ‘lubang’ belakang penyerang utama dan di hadapan dua pemain tengah.

Untuk menyertai dua penyerang ini, Zainal meletakkan dua pemain sayap yang laju yang diharap untuk menyerang dari kubu mereka sendiri (providing deep runs).

11025214_863345200392842_7290032722022306682_n

Jika pemain-pemain lain tidak dapat membawa bola kepada 2 pemain sayap ini, mereka digalakkan oleh Zainal untuk membuat hantaran jauh (direct ball) ke ruang belakang 4 pertahanan lawan untuk dikejar oleh penyerang mereka.

Ini membolehkan mereka dapat melancarkan serangan kurang dari 4 hantaran dan melegakan tekanan dari pertahanan mereka. Jadi, pertahanan mereka digalakkan untuk terus membuat hantaran jauh ke hadapan sebagai cara untuk clear ball.

Penguasaan bola bukanlah segala-galanya

Dalam bola sepak, penguasaan bola bukanlah segala-galanya. Di bawah Zainal dan Dollah, pemain-pemain mereka tidak kisah jika penguasaan bola mereka lebih sedikit berbanding pasukan lawan. Apa yang penting adalah, bagaimana dan di mana mereka menguasai bola.

Zainal dan mentornya, Dollah tidak berminat jika pasukan mereka menguasai bola tetapi apa yang mereka buat adalah membuat hantaran sesama pertahanan mereka sendiri. Mereka lebih berminat jika bola tersebut dihantar segera ke kawasan kubu lawan. Apabila bola sudah berada di sana, pemain-pemain dibenarkan untuk bermain hantaran pendek.

Agak sedih sebenarnya apabila kami tidak dapat memberi data statistik untuk menyokong hujah kami ini tetapi setelah menyaksikan perlawanan Pahang beberapa kali pada musim ini, kami merasakan pemerhatian kami ada asasnya.

Bolehkah penyerang tempatan bermain dalam taktik Zainal?

Sehingga kini, kami agak skeptikal dengan kebolehan penyerang tempatan Pahang untuk mengemudi jentera serangan Pahang dalam taktik sebegini. Fauzi Roslan mempunyai kerajinan (work rate) dan stamina yang bagus untuk mengejar hantaran jauh yang dilakukan oleh pertahanan Pahang, tetapi masih lemah dalam aspek penyudah dan link-up play berbanding Matias Conti.

Azidan Sarudin bermain di posisi Nwakaeme malam semalam tetapi tidak dapat membuat sebarang sumbangan bererti sepanjang 60 minit bermain. Beliau gagal menghubungkan unit pertahanan dengan serangan sebagaimana yang dilakukan oleh Nwakaeme sepanjang 30 minit beliau beraksi.

Melainkan jika Pahang mendapatkan penyerang tempatan yang mempunyai fizikal dan teknik yang bagus untuk bermain dalam taktik ini (dalam fikiran kami adalah Afiq Azmi atau Izzaq Faris), kami tidak dapat melihat taktik ini membantu karier penyerang tempatan.

Kesimpulan

Persamaan antara taktik Pahang dengan pasukan yang diurus oleh Tony Pulis amat menarik untuk dibincangkan. Kami tidak merasakan ianya salah bagi Zainal untuk bermain taktik sebegini tetapi, biarlah dengan pemain tempatan yang sesuai. Stereotaip bahawa pemain tempatan kita berbadan kecil dan hanya layak bermain dalam taktik hantaran pendek sahaja adalah persepsi yang tidak matang. Dengan pemain tempatan yang sesuai, kami merasakan Pahang boleh melahirkan penyerang yang berbisa dengan bermain taktikal sebegini.

Siapa penyerang tempatan yang anda rasa boleh bermain dalam taktik Zainal? Beritahu kami di ruangan komen.

 

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.

Sumber gambar: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN