Selepas ini tiada lagi pandangan dan kritikan pedas akan didengari kita daripada mulut bekas pemain skuad kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby Singh ke atas prestasi skuad Harimau Malaya.
Shebby Singh disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berbasikal di Johor, petang semalam. Ia dilaporkan terlebih dahulu oleh ciapan di laman Twitter TheVibes.com sebelum ia disahkan lewat malam tadi.
Menurut ciapan TheVibes.com, “Bekas pemain skuad kebangsaan, Serbegeth “Shebby” Singh telah meninggal dunia akibat serangan jantung. Beliau berusia 61 tahun. Dipercayai beliau mengalami serangan jantung ketika sedang berbasikal. Salam takziah buat keluarga mendiang.” Ia telah menggegar arena bola sepak tempatan.
He is believed to have suffered a heart attack while cycling.
Our condolences go out to his family.https://t.co/AzgLUUgfYE
— TheVibes.com (@thevibesnews) January 12, 2022
Ini lima fakta tentang mendiang Shebby Singh sepanjang penglibatannya dalam arena bola sepak negara:
Shebby Singh: Tahun 2023 baru lantik pengendali Harimau Malaya
Ini mungkin antara komentar terakhirnya tentang prestasi skuad kebangsaan. Shebby Singh terkenal dengan kritikan pedas terhadap sebarang isu dalam arena bola sepak negara dan tentunya prestasi Harimau Malaya.
Malaysia disingkir awal daripada saingan Piala AFF Suzuki 2020 dan pengendalinya, Tan Cheng Hoe memilih untuk meletak jawatan. Selaku pemerhati bola sepak tempatan, Shebby Singh menegaskan tiada keperluan buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tergesa-gesa melantik pengganti sepanjang tahun 2022.
Tegasnya, “Tahun 2022 ini untuk FAM ambil masa memikirkan siapa calon terbaik pada 2023. Jangan kelam kabut, tiada apa yang akan berubah.” Nampaknya yang berubah adalah beliau tidak sempat untuk melihatnya.
#BHsukan Kegagalan itu bukan kata merosot, boleh dikatakan hancur. Biar 2022 ini tenangkan dulu situasihttps://t.co/DHNfo1ILNA
— Berita Harian (@bharianmy) January 8, 2022
Dihukum gantung beraksi setahun oleh Johor FA
Sepanjang kariernya, beliau tampil bermain bersama lima pasukan iaitu Johor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan terakhir di Perak. Merupakan seorang bek tengah berasal dari Johor, bakat Shebby Singh telah dikenal pasti oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan, yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.
Seterusnya, mendiang S. Subramaniam memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1983, satu tindakan yang mengundang kontroversi apabila Shebby digantung setahun oleh Johor atas alasan berpindah tanpa kebenaran. Beliau menggantung butnya pada 1996 dan menukar bidangnya.
Beralih sebagai personaliti televisyen
Menurut kenyataan oleh FAM, Shebby Singh mula mencipta nama selaku personaliti televisyen pada 1997.
Beliau pernah menjadi pengulas saingan English Premier League (EPL) di Astro. Shebby Singh menggunakan segala pengalamannya dalam bola sepak untuk menjadi seorang pengulas berkaliber. Kepetahan bercakap dan melontarkan idea dalam ulasannya menjadikannya sebagai pilihan ESPN buat mengisi ruang sebagai pengulas.
Antara tiga individu penting kewujudan MyTeam
Disamping itu, beliau juga masih terlibat dalam arena bola sepak tempatan antaranya menjadi antara individu penting mewujudkan pasukan MyTeam bersama YB Menteri Kesihatan ketika ini, Khairy Jamaluddin dan Jason Loo pada 2006. Dalam dua siri televisyen itu, mereka bertemu skuad kebangsaan Malaysia dan Indonesia.
Beliau menjadi jurulatih skuad ‘amatur’ itu yang hampir mengejutkan skuad pilihan Malaysia yang dibarisi rata-rata pemain skuad B-20 negara yang dikendalikan oleh Datuk K. Rajagobal – skuad MyTeam tunduk 1-2.
Penasihat Global Blackburn Rovers
Pada Jun 2012, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Global buat kelab yang bersaing di EPL, Blackburn Rovers dan ia bertahan sehingga 2013. Beliau akhirnya meninggalkan kelab tersebut akibat pelbagai kecaman yang diterimanya sepanjang di sana. Mungkin disebabkan ‘mulut laser’, beliau kurang disenangi penyokong.
Antara yang pernah berlaku seperti kenyataannya dalam forum bersama penyokong tentang pengurus pasukan, Steve Kean yang menurutnya akan dipecat jika tewas tiga perlawanan berturut-turut pada awal saingan liga. Insiden kritikannya itu akhirnya berkesudahan dengan beliau memohon maaf kepada bekas pengurus itu.
Penutup
Sememangnya dikenali dengan pengkritik selain pengulas, menurut rakan sepermainannya, B. Satiananthan yang bercakap kepada Bernama, “Beliau banyak memberi sumbangan khususnya pendapat serta kritikan, yang sebenarnya kadang-kadang tidak masuk akal, tetapi ia untuk kebaikkan bola sepak kita.” Itulah Shebby Singh.
Di sini, Semuanya BOLA ingin merakamkan ucapan salam takziah kepada keluarga mendiang Serbegeth Singh.