ISL: Diaz Bantu Kerala Kecewakan Liridon Dan Odisha

Kerala Blasters kembali menguasai kedudukan teratas Liga Super India (ISL) selepas berjaya menewaskan Odisha FC dengan jaringan 2-0 pada malam tadi.

Menariknya perlawanan ini adalah kerana dua pemain daripada setiap pasukan yang pernah menyarung jersi juara Liga Super Malaysia (MSL), JDT.

Seperti yang kita semua maklum, Liridon Krasniqi yang juga merupakan pemain naturalisasi negara kini beraksi secara pinjaman daripada pasukan Harimau Selatan itu.

Kerala Blasters pula membariskan Jorge Pereryra Diaz, bekas penyerang import JDT dari Argentina pada 2014 sehingga 2018.

Kedua-dua pemain berada di dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing untuk perlawanan ini.

Kerala dilihat sebagai pasukan yang lebih baik sejak wisel permulaan apabila berjaya menampilkan beberapa gerakan dan hantaran yang berjaya mengancam kubu lawan.

Odisha memperolehi peluang terbuka untuk berada di hadapan pada minit ke-26, apabila Javi Hernandez memaksa penjaga gol Kerala, Prabsukhan Gill melakukan aksi menyelamat.

Dua minit kemudian Kerala berada di hadapan hasil gerakan menarik individu Nishu Kumar yang melencongkan bola ke penjuru atas sebelah kanan gawang, selepas menerima hantaran Adrian Luna.

Kerala melebarkan kelebihan dimiliki pada minit ke-40. Sekali lagi Luna memainkan peranan penting dengan hantaran lintang melencong daripada sepakan sudut yang ditanduk masuk Harmanjot Khabra.

Mungkin kerana aksi kurang memberangsangkan dan gagal memberikan impak seperti yang diharapkan, Liridon segera dikeluarkan oleh pengendali Odisha FC, Kiko Ramirez.

Pemain kelahiran Serbia itu digantikan oleh Jonathas de Jesus yang lebih mengancam pada babak kedua perlawanan.

Babak kedua perlawanan juga menyaksikan percubaan Jorge Pereryra Diaz dari luar kotak penalti berjaya dihadang pemain pertahanan Odisha dalam usaha pasukan itu menambah gol ketiga.

Diaz turut menerima layangkan kad kuning pada masa kecederaan sebelum dikeluarkan sebelum tamat perlawanan.

Leave a Reply