Stuart Ramalingam Nafi FAM dan MFL Sentiasa Mendahului Melaka

Dakwaan segelintir penyokong bola sepak Malaysia mengenai Melaka yang dikatakan sebagai anak emas kepada badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditepis oleh Stuart Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Jelas beliau kepada Berita Harian, beberapa hukuman yang dikenakan sebelum itu kepada Melaka membuktikan kepada semua akan sikap sama rata layanan kepada setiap pasukan yang bernaung di bawah MFL tanpa melindungi kepentingan sesuatu kelab sahaja.

“Kalau Melaka anak emas MFL atau FAM, saya tak fikir mereka akan berdepan pemotongan mata dalam dua musim terakhir,” kata Stuart selepas Majlis Taklimat Kalendar Liga M 2022 yang diadakan secara maya, pada hari semalam.

Kontroversi dakwaan mengenai pasukan Hang Tuah itu tercetus dalam kalangan peminat bola sepak negara setelah menyedari mengapa pasukan tersebut masih diberi kebebasan mendapatkan pemain baharu dan diberikan lesen walaupun saban tahun mempunyai masalah tunggakan gaji dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, Stuart menjelaskan situasi dengan teliti mengenai pemberian lesen kebangsaan kepada Melaka adalah berdasarkan dokumen kewangan yang diserahkan pada 30 Jun lalu.

Tambah beliau dengan lebih lanjut, MFL juga telah menuntut setiap pasukan untuk menyerahkan surat akuan berkanun (SD) yang membuktikan mereka telah bebas dari sebarang pembayaran atau kelewatan membayar gaji serta bayaran lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) PADA 15 Disember lalu.

“Jadi, dekat situ dalam SD kita akan tahu pasukan mana berdepan masalah gaji, selepas itu MFL ambil tindakan lanjut yang mana jika tidak bayar pada Januari, larangan perpindahan automatik dikenakan, jika tak bayar lagi akan ditolak mata.

“Justeru, lesen sah sudah diberi mengikut peraturan semasa dan jawatankuasa pelesenan mengikut segala peraturan. Mengenai kekurangan atau tidak bayar gaji selepas 30 Jun, ia dijadikan satu perkara yang sudah saya bincang bersama PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia).

“Satu peraturan baharu akan dirasmikan di dalam pelesenan kelab 2022 untuk lesen 2023 di mana kita anjakkan tarikh 30 Jun itu kepada 30 September. Mungkin ada yang tertanya kenapa 30 September, itu bukan hujung musim.

“Ia kerana pada 30 Oktober, MFL perlu menyerahkan dokumen kepada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk lesen tahunan kebangsaan, jadi kami perlu lengkapkan supaya kita boleh serahkan kepada AFC.

“Ini permintaan daripada PFAM dan MFL dengan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah dan juga ahli jawatankuasa pelesenan untuk menambah lagi tempoh masa pemantauan bayaran gaji ini,” katanya.

Dalam masa sama, Stuart turut mengesahkan sehingga kini MFL tidak menerima walau satu laporan atau aduan daripada pemain Melaka mengenai masalah gaji dan beliau tidak menolak perkara tersebut sedang diselesaikan oleh PFAM.

“Saya yakin pembabitan PFAM akan selesaikan isu ini di peringkat awal dan kalau tidak boleh, ia akan diserahkan kepada MFL untuk tindakan bola sepak,” katanya.

Leave a Reply