Masalah perkauman dalam bola sepak ini merupakan perkara yang sukar untuk dihapuskan.
Terbaharu di Itali, Sulley Muntari menjadi mangsa kepada serangan perkauman oleh peminat bola sepak di stadium.
Beliau nyata kecewa selepas diserang sebegitu rupa ketika aksi perlawanan melibatkan pasukan beliau iaitu Pescara menentang Caligari di Itali.
Kerana kecewa, Muntari memilih untuk melaporkan hal tersebut kepada pengadil Daniele Minelli untuk memberhentikan perlawanan.
Namun begitu, apa yang diterima oleh Muntari bukanlah perlawanan itu dihentikan tetapi beliau diberikan kad kuning!
Tunjuk contoh baik
Hari Muntari ketika perlawanan itu nyata tidak begitu baik.
Sudahlah diserang dengan isu perkauman, beliau diberikan kad kuning pula oleh pengadil.
Namun begitu, beliau tetap tunjukkan kenapa beliau seorang yang kuat dan tabah hadapi dugaan sebegitu.
Selepas perlawanan, Muntari memilih untuk pergi ke seorang kanak-kanak yang berdiri sebelah pemuda yang mengejek beliau dengan ejekan perkauman itu dan memberi jersi beliau kepada kanak-kanak itu.
Tindakan itu menimbulkan persoalan ramai pihak kenapa beliau berbuat sedemikian, namun Muntari ada jawapannya.
“Saya beri jersi tersebut kepada kanak-kanak yang berdiri di sebelah pemuda yang hina saya itu kerana saya nak tunjukkan kepada beliau supaya jadi manusia yang baik apabila sudah besar.”
Jelas, Muntari mahu kanak-kanak itu menjadi manusia yang berguna kepada semua manusia tanpa mengenal warna kulit sekalipun.
Kami tabik anda, Sulley Muntari!
Baca juga: Dollah Salleh: “Sumareh Amat Penting Buat Pahang”