Skuad kendalian E. Elavarasan membuka tirai acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 dengan langkah kanan apabila tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Laos 5-1 di Stadium Prince.
Turun selaku pasukan pilihan, Malaysia hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan negara, Ubaidullah Shamsul untuk mendahului perlawanan 1-0.
Skuad muda negara terus menekan dengan pelbagai gerakan untuk menambah jaringan namun beberapa hantaran yang kurang tepat membolehkan barisan pertahanan Laos mudah mematahkan serangan Malaysia.
Ketika pemain terlalu fokus mengatur serangan, Laos berjaya menyamakan kedudukan berpunca dari satu hantaran lintang dari sebelah kiri dan Ubaidullah gagal mengeluarkan bola dan tertampan menyebabkan gol tersendiri terhasil pada minit ke-21.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia memperkemas rentak permainan dengan lebih pantas dan usaha mereka membuahkan hasil apabila hantaran deras dari Safwan Mazlan di sebelah tepi menyebabkan Anantaza Siphongphan tertampan gol sendiri pada minit ke-28 untuk membezakan kedudukan 2-1.
Keadaan padang yang kurang baik juga menjadi faktor buat kedua-dua pasukan gagal memberi aksi terbaik dalam perlawanan ini.
Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan cuba mencari gol tambahan dan melakukan beberapa pertukaran pemain untuk menambah kekuatan pasukan.
Kem negara yang menguasai permainan ternyata masih cuba mendapatkan rentak permainan sebenar mereka. Taktikal membawa masuk Syahir Bashah dan beberapa muka baharu ternyata memberi perubahan permainan terutama memberi impak pada barisan serangan.
Syahir tidak perlu menunggu lama apabila meletakkan nama beliau selaku penjaring gol ketiga pada minit ke-74 untuk menjadikan kedudukan 3-1. Ia terhasil melalui satu serangan balas pantas hampir mendapatkan jaringan keempat menerusi Fergus Tierney namun percubaan beliau terkena tiang gol.
Laos juga mempunyai deretan peluang namun penjaga gol Malaysia bertindak lebih cemerlang untuk menafikan jaringan pasukan lawan.
Malaysia terus bernafsu untuk mendapatkan jaringan namun beberapa percubaan lemah gagal menewaskan penjaga gol Laos. Tierney hampir mendapatkan jaringan namun kali ini palang pula menjadi penghalang untuk dirinya mendapatkan jaringan.
Jaringan keempat yang dicari akhirnya menjelma pada masa kecederaan sekali lagi menerusi Najmudin Akmal sebelum At Viengkham tercetak jaringan sendiri sekali gus memberi kemenangan selesa 5-1 buat Malaysia.
Kedudukan 5-1 kekal hingga tamat perlawanan. Malaysia akan turun pada 6 Mei ini menghadpai lawan lebih kuat iaitu Thailand dan kemenangan wajib dicatat jika ingin mencerahkan peluang ke separuh akhir.