Kekalahan skuad Malaysia B-22 kepada Thailand dan Vietnam dalam aksi peringkat kumpulan Sukan SEA baru-baru ini membuktikan kita masih sukar untuk mengalahkan mereka setiap kali bertemu.
Dalam dua perlawanan tersebut, kita boleh lihat perbezaan agak ketara dari segi kemahiran individu dan kekuatan mental terutamanya yang sering menghantui pemain negara.
Kemahiran individu sangat penting kerana ia akan memudahkan pergerakan bola serta taktikal yang diterapkan namun jika asas ini pun ada beberapa pemain masih lagi tidak menguasainya, bagaimana pasukan hendak bersaing dengan lawan yang jauh lebih baik?
Atau DNA sebenar Malaysia adalah ‘kick and run’ sahaja?
Jika Malaysia sedang mendahului, secara tidak langsung corak permainan akan menjadi lebih baik sebaliknya jika pasukan lawan yang terlebih dahulu mendapatkan jaringan, para pemain seakan-akan menjadi panik sehingga tidak tahu apa yang harus dilakukan dan di sini terserlah masalah utama pemain kita.
Dikala lawan menguasai permainan selain kelihatan selesa bermain hantaran pendek serta kawalan bola lebih baik dan apabila kita mendapatkan bola namun pemain Malaysia pula mudah kehilangan bola begitu sahaja. Berapa lama pemain Malaysia boleh mengawal bola tanpa hilang dari kawalan ketika ditekan oleh pemain lain?
Dari segi kekuatan mental, anak buah E. Elavarasan seperti mudah terperangkap dengan permainan psikologi pihak lawan dan sering melakukan kesilapan mudah. Ini adalah faktor utama bagi pemain bola sepak di dunia kerana jika gagal mengawal emosi, maka tindakan kurang bijak sering dilakukan hingga merugikan pasukan.
Suka atau tidak, pujian harus diberikan kepada pasukan Vietnam seperti sudah mengkaji corak mental pemain Malaysia dan mereka menjalankan tugas yang cukup sempurna apabila mengumpan dengan sedikit kekasaran. Perkara ini kita boleh lihat dari skuad junior hingga skuad senior.
Selain itu, jika pasukan lawan mula bermain secara psikologi menyebabkan pemain kita sukar bermain seperti biasa sebaliknya mengikut rentak lawan sehingga memberi kelebihan buat mereka. Perkara ini harus diubah agar ia tidak menjadi titik kelemahan pasukan Malaysia.
Kegagalan ke separuh akhir dan memberi alasan mengatakan persediaan yang singkat sebenarnya tidak boleh diterima kerana barisan yang dibawa ini adalah pemain yang mempunyai pengalaman dan sepatutnya anak didik Elavarasan memberikan aksi yang lebih cemerlang.
Antara pemain yang mempunyai minit permainan lebih baik bersama skuad di Liga Malaysia (Liga M) seperti Mukhairi Ajmal, V. Ruventhiran, Harith Haiqal dan beberapa pemain lain tetapi kesemua pemain ini seperti gagal membantu pasukan untuk tampil dengan aksi lebih cemerlang.
Malahan Elavarasa sendiri yang meletakkan sasaran untuk layak ke pentas akhir namun di peringkat kumpulan sudah ditunjukkan jalan pulang lebih awal. Siapa yang harus dipersalahkan?
Jika dengan Vietnam dan Thailand pun sukar untuk kita kalahkan mereka, bagaimana pula jika kita berhadapan pasukan dari Asia?
Atau saat ini kekuatan Malaysia hanya setaraf Kemboja, Laos, Singapura sahaja? Dengan reputasi Harimau Malaya, sepatutnya kita sekurang-kurang setaraf seperti Thailand dan Vietnam akan tetapi ia menjadi sebaliknya.
Lebih mendukacitakan, aksi longlai yang ditampilkan oleh Malaysia di kejohanan Sukan SEA 2023 seperti satu kerugian besar buat Liga M kerana dihentikan semata-mata ingin memberi laluan kepada beberapa pemain muda di kejohanan tersebut.
Kalau tangguh liga tapi dapat pingat, berbaloi jugakan?