Sukan SEA: Datuk Ong Kim Swee Sahkan Luqman Hakim Dalam Senarai ‘Call-up’ Awal

Skuad Bawah-22 Tahun negara ditempatkan di Kumpulan A bersama-sama pasukan tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste.

Ini bermakna skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengelak dari bertemu gergasi Asia Tenggara yang lain, terutamanya juara bertahan Thailand, dan juga Vietnam.

Mengulas mengenai undian yang dilakukan sebentar tadi, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu pasukan negara memandang rendah cabaran pasukan lain walaupun saingan tampak mudah di atas kertas.

“Kalau kita lihat atas kertas, memang satu peluang yang cukup baik untuk layak ke peringkat seterusnya,” ulas beliau

“Tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kerana pasukan-pasukan lain sudah bersiap sedia lebih awal, terutama dengan dua pemain lebih umur yang pasti memberi kekuatan lebih seimbang kepada semua pasukan, lebih-lebih lagi pasukan tuan rumah Filipina.”

Walaupun mahu pasukan negara pergi lebih jauh, Kim Swee mahu pasukannya nanti memberikan fokus kepada perlawanan demi perlawanan.

Jadual perlawanan ketat di Sukan SEA nanti juga bermakna beliau harus memikirkan strategi-strategi tertentu ketika berhadapan setiap pasukan bertanding.

Ong Kim Swee menjawab soalan daripada wartawan. FOTO: FAM

Walaupun saingan di Kumpulan A tampak mudah, beliau juga tidak mahu memikirkan pingat emas buat masa ini.

Ini kerana fokus harus ditumpukan ke peringkat kumpulan terlebih dahulu, dan pesaing yang akan dijumpai di separuh akhir (dari Kumpulan B) yang pasti lebih sukar.

Tumpuan penyokong bola sepak negara pastinya juga akan terarah kepada penyerang muda skuad Bawah-19 tahun negara, Luqman Hakim.

Mengenai pemain yang akan menyertai K.V Kortrijk pada Mac hadapan, ini komen Kim Swee:

“Peluang untuk Luqman [Hakim] memang ada dalam senarai call-up. Tetapi untuk mendapatkan tempat terakhir 23 pemain, itu terpulang kepada latihan dan perlawanan persahabatan sebelum bertolak ke Manila pada 23 atau 24 November nanti.

“Kita tahu Luqman merupakan seorang pemain yang berpotensi tinggi untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi, tetapi kita tidak perlu terburu-buru.

“Seperti saya katakan, saya ingin melihat Luqman di dalam latihan, di peringkat yang lebih tinggi. Ketika ini Luqman beraksi bersama skuad Bawah-19, tetapi belum beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

“Jadi kita harus memberikan masa kepada Luqman untuk menyertai skuad Bawah-23 dan pasukan negara pada masa hadapan dengan cara yang betul.”

Penjelasan Kim Swee mengenai Luqman itu ada asasnya. Ini kerana beliau tidak mahu pemain muda ini dikendalikan dengan cara tidak betul, dan akhirnya memberikan impak berbeza pada masa hadapan.

Mengenai senarai pemain senior yang masih layak bersama pasukan Bawah-22, beliau akan menilai perkara itu selepas tugasan mereka bersama skuad kebangsaan.

Seramai 25 pemain akan dipanggil menjalani latihan pusat mulai 4 November hadapan, dan sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan antarabangsa akan diadakan sebelum saingan di Manila bermula.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN