Pejuang Catalonia Dipenjara: Real Madrid Risau Isu Keselamatan Menjelang El Clasico Di Nou Camp

Mahkamah Tinggi Sepanyol pada Isnin telah memutuskan sembilan pemimpin Catalonia yang dituduh mendalangi referendum kemerdekaan wilayah itu pada Oktober 2017 akan berdepan hukuman penjara di antara sembilan dan 13 tahun.

Suratan atau kebetulan, perlawanan pertama Barcelona – sebuah kelab yang berpangkalan di Catalonia – di Camp Nou selepas hukuman tersebut diputuskan adalah perlawanan ‘panas’ El Clasico bertemu pasukan Real Madrid pada 26 Oktober ini.

Sejak isu kemerdekaan Catalonia semakin hangat khususnya bermula dua tahun lepas, sudah beberapa kali penyokong Barcelona melakukan protes di dalam stadium semasa perlawanan sedang berlangsung.

Malah Barcelona sendiri pada Isnin telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam hukuman penjara tersebut.

“Pihak kelab mendorong semua ahli politik untuk mengadakan proses dialog dan rundingan untuk menyelesaikan konflik ini, sekaligus membenarkan pembebasan pemimpin yang dikatakan bersalah.

“FC Barcelona juga melahirkan sokongan dan solidariti kepada ahli keluarga pemimpin yang memperjuangkan kebebasan.”

Sudah tentu mudah untuk menjangka El Clasico kali ini akan digunakan sebagai platform oleh penyokong Barcelona untuk melakukan protes kerana ianya perlawanan pertama mereka di tempat sendiri dan bakal ditonton oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

Pihak pengurusan Real Madrid memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur politik mengenai isu tersebut.

Tetapi mereka percaya kelab itu perlu melakukan sesuatu bagi meningkatkan kawalan keselamatan pasukan – jauh lebih ketat berbanding sebelum ini – sebagai persediaan menghadapi perlawanan tersebut.

Satu masalah lagi buat skuad Los Blancos adalah, sepak mula perlawanan berkenaan dijadualkan pada jam 1.00 tengah hari. Maksudnya pasukan itu perlu tiba di ibu kota Catalan pada hari sehari lebih awal (Jumaat) dan bermalam di sana.

Pihak pengurusan Madrid memberi keyakinan, sebagai sebuah kelab bola sepak yang tidak sepatutnya terpalit dengan isu politik, mereka tetap menghormati hubungan baik dengan pasukan Barcelona.

Mereka juga berharap segalanya akan kembali normal dalam tempoh beberapa hari ini dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sama ada di luar mahu pun di dalam stadium menjelang perlawanan tersebut.

Leave a Reply