Kelab Liga Perdana Scotland, Rangers mengharapkan agar mereka dapat mengesahkan legenda dan bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard sebagai pengurus mereka seawal minggu hadapan.
Laporan oleh majoriti media di Britain mengesahkan Gerrard sudah pun bersetuju untuk menyertai Rangers dan bakal menggantikan Graeme Murty di Ibrox untuk pengalman pertama mengendalikan skuad utama.
Untuk itu, Gerrard harus melepaskan jawatan yang disangdangnya selaku pengurus dan jurulatih skuad B-18 Liverpool. Perlantikan Gerrard di Ibrox juga bakal diikuti oleh seorang lagi bekas pemain Liverpool, Gary McAllister yang bakal dilantik sebagai pembantu kepada Gerrard.
Pengumuman rasmi daripada kelab Scotland itu dijangka akan dikeluarkan di dalam masa terdekat.
Jika benar Gerrard akan menerima jawatan di Rangers, ini bermakna bekas kapten Liverpool ini bakal berhadapan dengan Celtic yang dikendalikan oleh bekas pengurus Liverpool yang pernah mengendalikan Gerrard, Brendan Rodgers.
Celtic mulai mendominasi bola sepak Scotland sejak sedekad yang lalu, dan terus berbuat demikian di bawah kendalian Rodgers.
Tatkala Rangers sedang bergelut dengan Hibernian dan Aberdeen untuk tempat kedua Liga Perdana Scotland, Celtic sedang menuju treble domestik kedua di dalam tempoh dua musim.
Sehingga kini, Rangers gagal menewaskan Celtic yang merupakan seteru utama mereka di dalam derbi Glasgow sejak sepuluh pertemuan lalu. Kedua-dua pasukan akan berjumpa sekali lagi pada malam ini.
Sudah tentu kedatangan Gerrard di Ibrox diharapkan dapat mendekatkan jurang kualiti yang dimiliki kedua-dua pasukan.
Gerrard yang melalui 12 bulan yang disifatkan berjaya bersama akademi Liverpool tidak pernah menyembunyikan keinginan untuk mengendalikan pasukan utama di masa hadapan.
Jumaat lalu pengurus Liverpool, Jurgen Klopp turut berkata kelab tersebut tidak akan menjadi batu penghalang kepada cita-cita bekas kapten mereka itu.