Perak mencatatkan kemenangan ke-4 dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas berjaya menundukkan Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.
Secara kebetulan, pertemuan liga ke-7 sebentar tadi menemukan kedua-dua pasukan yang tersingkir dalam aksi suku akhir Shopee Piala FA minggu lalu.
Separuh masa pertama
Wander Luiz Bitencourt Junior terlebih dahulu mencemaskan Kuala Lumpur seawal minit ke-4 selepas menerima hantaran dari Nasir Basharudin.
Wander bagaimanapun meledakkan rembatan lemah yang mudah ditangkap penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar Md Jamil.
Skuad bimbingan Fabio Joaquim Maciel Da Silva memperkemaskan aksi dan memperoleh peluang terbaik bagi membuka tirai jaringan menerusi Paulo Josue Sturmer pada minit ke-16.
Sepakan percuma berbahaya dari Paulo berjaya dinafikan Hafizul Hakim Khairul Nizam bagi menyelamatkan pintu golnya.
Kuala Lumpur terus menekan kubu tuan rumah dengan serangan pantas pada minit ke-25.
Zaquan Adha Abdul Radzak yang meluru pantas dari sebelah kiri pintu gol Perak berjaya memperdayakan Hafizul lalu melakukan melorongkan bola kepada Ashri Chuchu.
Namun, bek kiri, Nazirul Naim Che Hashim lebih pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk menyelamatkan keadaan.
Perak akhirnya membuka tirai jaringan berselang dua minit kemudian selepas Leandro Dos Santos Oliveira menyempurnakan sepakan penalti.
Sepakan penalti tersebut diberikan oleh pengadil perlawanan, Razlan Bin Joffri Ali selepas Nor Hakim Hassan dikasari dalam kotak penalti oleh Mohd Firdaus Mohd Faudzi.
Jaringan daripada Leandro itu memisahkan kedua-dua pasukan sehingga tamat aksi di babak pertama.
Separuh masa kedua
Bagaikan mendapat tonik berguna di bilik persalinan oleh Mehmet Durakovic, Perak mempamerkan persembahan yang lebih garang bagi mendominasi hampir keseluruhan aksi pada babak kedua.
Wander Luiz mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-56 ketika pintu gol Kuala Lumpur sudah pun terbuka luas, namun percubaan dilakukan berjaya dihalang Bobirjon Akbarov.
Wander Luiz menebus kehampaan tersebut dengan mencipta jaringan kedua pada minit ke-65.
Gol kedua itu berpunca selepas Wander berjaya menyudahkan percubaan susulan berikutan rembatan yang terlebih dahulu dilakukan Gilmar Jose Da Silva Filho gagal ditangkap kemas Khatul.
Tujuh minit kemudian, Perak menambah derita skuad pelawat dengan jaringan ketiga menerusi Gilmar.
Gilmar yang menerima umpanan daripada Wander Luiz, melakukan larian solo yang seterusnya meledakkan rembatan rendah untuk sekali lagi mengecewakan Khatul Anuar.
Kemenangan ke-4 yang dicatatkan anak buah Mehmet Durakovic malam ini melonjakkan Perak ke tangga ketiga dalam saingan Liga Super.