Calon Pilihan Raya Umum Ke-14 Dan Pasukan Bola Sepak Kegemaran Mereka

Seperti juga anda, demam pilihan raya turut melanda kem Semuanya BOLA.

Bezanya, kami melihat ianya dari perspektif bola sepak. Misalnya, pasukan manakah yang diminati oleh calon-calon pilhan raya ini?

222 ahli Dewan Rakyat untuk Parlimen, dan 587 ahli Dewan Undangan Negeri, Malaysia akan memilih di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei hadapan.

Ini adalah sebahagian daripada calon PRU-14, dan pasukan bola sepak kegemaran mereka.

1. Najib Tun Razak (Manchester United)

Datuk Seri Najib Tun Razak jelas tidak perlu diperkenalkan lagi. Merupakan ahli parlimen termuda yang pernah terpilih, pada usia 23 tahun sejak 1976.

Untuk PRU-14, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berhadapan dengan pertandingan empat penjuru untuk mempertahankan Parlimen Pekan. Untuk bola sepak, semua pasti mengetahui bagaimana beliau meminati pasukan gergasi England, Manchester United.

Menurut Datuk Seri Najib Razak, beliau menyokong pasukan Manchester United sejak kecil. Dan beliau mempunyai pandangan tersendiri apabila ditanya mengapa Manchester United dan bukan satu lagi gergasi bola sepak Inggeris, Liverpool.

Menurut beliau, berbanding musuh tradisi, Liverpool hanya gah dengan kejayaan lampau, Manchester United pula sentiasa memperoleh kejayaan.

Satu masa dahulu, wujud mitos bahawa jika pemimpin No.1 negara ini memuat naik kenyataan di media sosial mengenai pasukan kegemarannya, maka Manchester United akan kalah.

Mungkin tidak lagi. Tahukah anda bahawa Manchester United memenangi setiap perlawanan apabila Datuk Seri Najib raazak memuat naik status di media sosial.

Antaranya ialah kemenangan 2-1 ke atas Chelsea, diikuti oleh Liverpool dengan jaringan yang sama, dan terbaru ialah kemenangan 3-2 ke atas Manchester City.

2. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Liverpool)

Dari Pasir Mas ke Bachok. Begitulah kisah Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz daripada PAS untuk PRU-14. Anak kelima Allahyarham Nik Abdul Aziz ini berubah parlimen untuk tempat bertanding dalam strategi PAS untuk mengekalkan Kelantan.

Calon Parlimen Bachok untuk parti PAS berusia 48 tahun ini sebenarnya adalah seorang penyokong Liverpool.

Ini berdasarkan beberapa kenyataan yang pernah dimuatnaik oleh beliau secara terbuka sebelum ini di media sosial. Antaranya, Nik Abduh pernah mengucapkan tahniah kepada Liverpool selepas menewaskan Manchester City dengan agregat 5-1 di pertandingan UEFA Champions League musim ini.

Sudah tentu beliau berbangga dengan pencapaian Mohamed Salah dan Liverpool di pertandingan ini setakat ini.

3. Dr Maszlee Malik (Manchester City)

Dr. Maszlee Malik sebenarnya adalah calon Parti Bersatu. Namun disebabkan masalah teknikal dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Dr. Maszlee dan 28 calon Parti Bersatu yang bertanding kerusi Parlimen dan DUN akan bertanding menggunakan lambang PKR.

Langkah ini sebenarnya diikuti oleh kesemua parti yang bernaung di bawah Pakatan Harapan. Bagi PRU 14 pada kali ini, Dr.Maszlee akan bertanding di Parlimen Simpang Renggam.

Dr. Maszlee Malik sebenarnya adalah penyokong setia Manchester City. Lebih daripada itu, beliau adalah penaung kepada kelab peminat juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan yang dikenali sebagai Manchester City Malaysia (MCM)

Menurut laman Facebook milik beliau, Maszlee Malik telah melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham pada tahun 2007 sebelum mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance pada tahun 2011.

Bagi anda yang giat dengan NGO, Dr. Maszlee pasti bukan watak asing kerana beliau merupakan penasihat kepada beberapa badan NGO dan badan pendidikan.

Antarannya ialah Teaching for the Needs (TFTN), Pusat Pendidikan Downsyndrome Orkids (ORKIDS), Pertubuhan Darul Fitrah, IDEAS Autism Centre, Lembaga Pusat Pendidikan al-Amin.

4. Ismail Sabri (Chelsea)

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bera akan menghadapi persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau yang juga penyandang kerusi parlimen itu ditentang Musaniff Ab Rahman daripada PAS dan calon PKR, Zakaria Abdul Hamid.

Biru untuk Barisan Nasional. Itulah lambang yang diwakili oleh Ismail Sabri sejak dahulu lagi. Mungkin kerana minat terhadap warna biru tua, Ismail Sabri juga merupakan penyokong kelab bola sepak Chelsea atau sinonim dengan jolokan The Blues.

Datuk Seri Ismail Sabri yang sebelum ini juga merupakan seorang Menteri Kabinet di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, juga merupakan penaung kepada salah sebuah kelab penyokong Chelsea di Malaysia yang digelar Malaysian Chelsea Soljabiru.

Pelbagai aktiviti diadakan beliau bersama peminat-peminat Juara Liga Perdana Inggeris ini yang selalunya melibatkan pertarungan secara langsung menentang pasukan lain seperti Liverpool dan Manchester City.

Ismail Sabri turut pernah menjemput Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang juga penyokong kuat Manchester United untuk sama-sama menyaksikan perlawanan di antara kedua-dua kelab itu.

5. Ahmad Maslan (Arsenal)

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan akan ditentang dua calon pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahmad Maslan kali ini akan berdepan dengan calon pembangkang gabungan PKR, Karmain Sardini dan calon Pas, Dr. Baharom Mohammad.

Dan kita semua tahu bahawa Ahmad Maslan merupakan penyokong setia Arsenal berdasarkan gambar-gambar yang sering dimuatnaik oleh beliau. Tetapi tahukah anda kisah di sebalik gambar ikonik memandang cermin yang sering dikongsikan oleh netizen untuk menyatakan Ahmad adalah penyokong Arsenal?

Sebenarnya jersi dengan nombor 50 dan tertera nama beliau adalah pemberian dari ahli keluarganya untuk hari jadi ke-50.

Benar. Kami yakin penyokong Arsenal di Malaysia termasuk Datuk Seri Ahmad Maslan akan lebih bersemangat menyokong pasukan kesayangan mereka selepas The Gunners bakal memperolehi pengurus baharu untuk cabaran musim hadapan.

6. Nurul Izzah Anwar (Arsenal)

Baik calon dari parti manapun, Arsenal jelas mempunyai ramai penyokong. Jika Datuk Seri Ahmad Maslan dari UMNO dan Barisan Nasional, Nurul Izzah Anwar adalah calon dari PKR yang turut merupakan penyokong Arsenal.

Perkara ini bukan rahsia lagi apabila bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai ini sering memuat naik berita dan update terkini mengenai pasukan kesayangannya ini di media sosial.

Untuk PRU 14, Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh; juga merupakan kerusi yang pernah dimenangi oleh ayah dan ibunya sebelum ini.

Dalam pertandingan tiga penjuru di Permatang Pauh, Nurul Izzah akan berhadapan dengan Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (BN) dan juga  Afnan Hamimi Taib Azamudeen (PAS).

Nurul Izzah bukan sahaja cintakan Arsenal. Tetapi calon pilihan raya PKR ini turut memberikan sokongan kepada skuad negara ketika Kejohanan Piala AFC B-23 yang lalu.

Rumusan

Sebenarnya ada ramai lagi calon-calon pilihan raya yang gemarkan sukan bola sepak. Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussein (Sembrong) dari Barisan Nasional misalnya adalah penyokong Manchester United.

Calon PAS di DUN Cempaka, Iskandar Abd Samad misalnya adalah penyokong Southampton.

Begitu juga dengan calon PKR di Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah adalah penyokong Liverpool.

Perlu diingatkan ini bukan artikel untuk berkempen. Jauh sekali untuk membeli undi. Cuma kesedaran bahawasanya ahli politik juga sama seperti kita, mempunyai minat yang sama.

Anda tahu pasukan bola sepak kesayangan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang bertanding di tempat anda? Kongsikan dengan kami di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN