Pengurus Rangers, Steven Gerrard mengakui beliau masih berkeinginan kuat untuk terus kekal di Scotland dalam usahanya untuk memburu kejayaan sulung bersama kelab tersebut.
Tetapi dalam masa yang sama, beliau tetap menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan tertinggi Rangers untuk menentukan masa depannya.
Meskipun sudah dua musim membimbing Rangers, Gerrard masih belum mengecapi sebarang kejayaan dan dilihat bergelut untuk memecah monopoli kelab gergasi Scotland, Celtic.
Kempen Liga Perdana Scotland musim ini menyaksikan Rangers ketinggalan 13 mata dibelakang Celtic yang gah berada di puncak liga setelah mengumpul 80 mata hasil 30 perlawanan sebelum saingan terpaksa dihentikan susulan wabak COVID-19 yang melanda dunia.
Celtic berterusan menjadi penghalang apabila memenangi pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi final Piala Liga yang berlangsung pada Disember tahun lalu.
Ketika ditanya wakil Sky Sports mengenai masa depannya di Rangers, ini respon diberikan oleh Gerrard:
”Saya rasa anda perlu bertanyakan soalan ini kepada Ahli Lembaga Pengarah sendiri.”
”Saya akan terus bekerja sekuat mungkin untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik dari pandangan saya sendiri dalam usaha untuk terus meningkatkan para pemain yang dimiliki, berusaha untuk menambah kekuatan pasukan.”
”Kami semakin hampir dengan beberapa kejayaan – saya berpendapat, dalam kejohanan Eropah, apabila anda mempertimbangkan di mana kami berada sebelum saya menjawat tugasan ini, tidak layak ke peringkat Eropah.”
”Perlawanan akhir Piala Liga, kami bermain dengan cukup baik tetapi Celtic adalah sebuah pasukan yang baik di mana telah mencapai kejayaan dalam tempoh yang lama.”
”Mereka adalah pasukan yang kukuh dari segi kewangan, jadi mereka memberikan kesukaran buat kelab lain untuk mengejarnya tetapi kami semakin merapatkan jurang tersebut.”
”Kami pasti akan bertambah baik dan melakukan usaha berterusan. Saya akan melakukan tugasan dengan sehabis baik dan sepantas yang mungkin [untuk mencapai kejayaan],” ujar Gerrard lagi.