UEL 2019/20: Kebijaksanaan Gerrard Inspirasi Rangers Mara Ke Pusingan 16

Rangers meneruskan prestasi cemerlang mereka di Eropah apabila menampilkan persembahan matang untuk menewaskan tuan rumah Braga 1-0 (4-2 secara agregat) dalam perlawanan pusingan 32 UEFA Europa League 2019/2020.

Dengan kemenangan ini, Rangers muncul pasukan pertama mara ke pusingan 16 Europa League. Ini juga merupakan kali pertama Rangers mara sejauh ini sejak 2011.

Gol tenang Ryan Kent hasil serangan balas pantas mengesahkan kemenangan Rangers selepas penalti Ianis Hagi diselamatkan dan gol Scott Arfield dibatalkan kerana panggilan ofsaid yang tidak tepat.

Rangers lupakan prestasi domestik

Ketika Rangers sekadar seri 2-2 kepada St. Johnstone Ahad lepas, bos Rangers Steven Gerrard mengkritik anak buahnya yang ‘kerap tembak kaki sendiri’ dengan melepaskan gol-gol mudah dan ‘lupa asas bertahan’.

Tetapi itu bukan kesnya semalam. Dengan Braga menguasai sebahagian besar perlawanan (70% penguasaan bola), Rangers perlu menunggu hampir sejam sebelum mendapat gol berharga.

Pasukan yang berpangkalan di Ibrox, Galsgow itu terpaksa berkampung di kawasan kubu sendiri apabila Braga memasang garisan defensif tinggi – dengan harapan untuk mengubah keputusan agregat. Tetapi bola hantaran Hagi (gambar bawah) memberi peluang kepada Kent untuk memecah perangkap ofsaid Braga dan seterusnya menjaringkan gol serangan balas klasik.

Embed from Getty Images

Ia adalah gol yang selayaknya diraih Rangers selepas membazir tiga peluang cantik pada separuh masa pertama.

Rangers tunjuk kelas bertahan

Pada musim Europa League tahun lepas, Rangers gagal lolos ke peringkat kalah mati selepas tewas perlawanan terakhir kumpulan menentang Spartak Moscow – kerana pertahanan yang poros. Rangers bolos 11 gol dalam 10 perlawanan sebelum menentang Spartak.

Pada musim kali ini, tema itu nampak berterusan. Sebelum menentang Braga, Rangers mencatatkan rekod bolos 0.68 gol setiap perlawanan.

Di peringkat kumpulam, Rangers bolos 6 gol daripada 6 perlawanan kumpulan yang dihuni oleh Porto, Feyenoord dan Young Boys.

Ketika menerima kunjungan Braga di halaman sendiri minggu lepas, Rangers terpaksa bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk menang 3-2. Tetapi semalam anak buah Gerrard menunjukkan mereka juga boleh bertahan dengan cemerlang untuk menafikan Braga yang dominan di hadapan 30,000 penyokong mereka.

Perlu diingat, Braga menjuarai kumpulan mereka – yang turut dihuni oleh Wolves – ketika Europa League berada di peringkat kumpulan. Mereka menjaringkan gol di setiap perlawanan home dan mencatat 9 kemenangan dan hanya 1 seri di saingan domestik sepanjang 2020.

Gerrard tidak berselindung dengan mendedahkan idea taktikalnya sebelum turun menentang Braga adalah ‘menyerap serangan dan melancarkan serangan balas’.

“Kami tahu macam mana Braga main. Ideanya adalah membiarkan 5 pertahanan mereka memegang bola kerana mereka pemain paling kurang berbahaya. Persembahan kami ketika hilang bola sangat cemerlang,” kata Gerrard.

Jika di Ibrox, kedua-dua bek kiri dan kanan Rangers diberi lesen untuk naik membantu serangan. Tetapi semalam, kedua-duanya mengutamakan pertahanan sehingga memaksa Braga untuk menyerang melalui hantaran lintang yang mudah ditangani George Edmundson dan Connor Goldson.

Persembahan Edmundson mendapat pujian Gerrard dan pundit, biarpun pertahanan 22 tahun ini baru mencatat 10 penampilan senior – kebanyakkan di liga domestik. Berdasarkan reaksi di media sosial, penyokong Rangers turut bersetuju.

https://twitter.com/Pena_Cartel/status/1232761014149619712

Leave a Reply