Stesen TV Mana Yang Sanggup Bayar RM200K Untuk Siar Aksi Final Piala AFF B-19?

siaran langsung final Piala AFF B-19 2022

Para penyokong semakin teruja untuk saksikan aksi final antara Malaysia dan Laos dalam saingan Piala AFF B-19 dan kerap kali dilihat bertanya adakah perlawanan tersebut akan disiarkan oleh mana-mana stesen TV?

Sejak aksi peringkat kumpulan sehingga ke separuh akhir, tiada lagi perlawanan yang melibatkan skuad negara disiarkan stesen TV di Malaysia. Ketika ini dapat dilihat di media sosial, para penyokong mula menggesa supaya aksi final ini disiarkan secara langsung. Malah ada yang mengatakan, sepatutnya dari awal ia patut disiarkan.

Adakah cakap-cakap ini timbul hanya selepas Malaysia mara ke pentas final? Sebelum ini, tiada siapa pun yang bersuara mahukan siaran langsung. Semua yang mahu saksikan perlawanan melibatkan skuad muda negara terpaksa gigih mencari siaran langsung yang diluncurkan secara ‘haram’ di Facebook, YouTube dan sebagainya.

Penyokong gesa Astro Arena siarkan perlawanan

Laman Twitter Onefootball.my misalnya, dilihat menggerakkan inisiatif untuk menggesa stesen TV sukan Malaysia, Astro Arena untuk membawa aksi akhir itu sehingga mengatakan yang jika stesen TV itu tidak membeli hak penyiaran tersebut, skuad B-19 seperti dianaktirikan. Benarkah tiada stesen TV yang berminat?

Adakah Astro Arena sanggup untuk membida dan membayar hak penyiaran perlawanan tersebut pada Jumaat?

Setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi mengenainya, sama ada ia akan disiarkan siaran langsung.

Menurut pengesahan oleh wartawan Astro Arena kepada Semuanya BOLA, tiada siaran langsung oleh mereka.

Malaysia mara ke pentas akhir selepas membenam cabaran Vietnam di peringkat separuh akhir pada Rabu.

Malaysia ke final kali ke-4 berturut-turut

Kemenangan selesa 3-0 ke atas Vietnam pastinya mengejutkan banyak pihak. Vietnam adalah antara kuasa besar bola sepak Asean ketika ini, namun di peringkat bawah umur, kita boleh katakan kekuatan pasukan semua adalah setara. Apa yang membezakan mereka adalah keberhasilan strategi dalam perlawanan tertentu.

Malaysia melakar sejarah apabila mara ke final buat kali ke-4 berturut-turut dan menjulang kejuaraan tersebut sekali iaitu pada edisi 2018 – mengatasi Myanmar 4-3 di Indonesia. Adakah sejarah akan kembali dilakar?

Dalam aksi peringkat kumpulan, Malaysia melakar dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. Malaysia tewas kepada lawan di pentas final, Laos dalam perlawanan terakhir kumpulan dengan keputusan 0-1. Malaysia menang 2-1 ke atas Kemboja dan 4-3 ke atas Timor-Leste serta terikat tanpa jaringan dengan Singapura.

Kenapa tiada langsung TV bersiaran langsung?

Sebagai perbandingan, saingan Piala AFF B-23 di Kemboja pada Februari lalu telah disiarkan secara langsung di TV9. Malaysia bertemu Laos dua kali untuk aksi Kumpulan B – Malaysia tumbang kedua-dua aksi.

Untuk mengatakan skuad kendalian Hassan Sazali Waras dianaktirikan oleh stesen TV tempatan mungkin agak keterlaluan. Ini kerana kos untuk menyiarkan secara langsung saingan Piala AFF B-19 kali ini sangat mahal.

Tambahan pula penganjurnya Indonesia. Sedangkan tuntutan untuk kawalan pihak Polis bagi aksi persahabatan antara Kelantan FC dan PSPS Riau di Stadium Utama Riau boleh menjangkau Rp40 juta (RM11829.23)!

Menurut kenyataan oleh media Vietnam sebelum ini, Soha.vn, harga untuk mendapatkan hak siaran langsung kejohanan tersebut agak tinggi sedang ia hanyalah kejohanan yang melibatkan pasukan bawah umur Asean.

Berapakah kos untuk mendapatkan hak penyiaran kejohanan tersebut? Dikhabarkan untuk satu-satu aksi, ia dijual sekitar USD45,000 (hampir RM200,000). Tidak pasti sama ada kos untuk final Piala AFF B-19 tinggi atau tidak. Tetapi, untuk membayar hampir RM200,000 untuknya, ada atau tidak stesen TV di Malaysia berminat?

Mahu tidak mahu, mungkin para penyokong Malaysia perlu sekali lagi mengharapkan siaran langsung ‘haram’.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN