Ianya bukanlah Champions League musim 2019/20 dan tidak cantik kemenangan Bayern Munich jika tidak dihiasi dengan jaringan gol Robert Lewandowski.
Lewandowski meledak gol ketiga Bayern Munich awal pagi tadi bagi melengkapkan kemenangan 3-0 mereka ke atas wakil Ligue 1, Lyon dan menoktahkan terus langkah mengejutkan kelab tersebut dalam saingan tertinggi Eropah pada musim ini.
Penyerang terbaik di dunia
Menepati ramalan apabila Bayern Munich mudah menundukkan Lyon yang telah menewaskan dua gergasi Eropah sebelum ini iaitu Juventus dan Manchester City. Sejarah untuk layak ke final gagal dicipta untuk pertembungan dua kelab Ligue 1.
PSG sebelum itu telah mara ke final selepas menundukan satu lagi wakil Bundesliga, RB Leipzig, juga dengan keputusan yang sama dan juga kali pertama ke final.
Namun, ianya malam buat Lewandowski. Beliau akan terus dikenang sebagai penyerang terbaik di dunia saat ini dan sayangnya Ballon D’Or tidak dilangsungkan musim ini. Jika tidak pastinya kita mungkin akan dapat melihatnya diiktiraf seadanya.
Malah, bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand turut ‘tabik’ kepadanya dan menyatakan yang beliau paling terhampir dengan Marco van Basten, “Jika saya Lewandowski, saya akan mulakan petisyen untuk Ballon d’Or dilangsung semula.”
Kenapa dikatakan gila
Mengapa beliau diangkat sebagai penyerang terbaik di dunia ketika ini? Dan kenapa kita katakan ianya musim yang gila buat penyerang berusia 31 tahun itu?
Ia bukanlah satu gol yang menakjubkan daripada penyerang Bavarian tersebut dengan gol menerusi tandukan tetapi statistik yang telah menjulang Lewandowski sebagai penyerang terbaik di dunia saat ini. Beliau telah meledak 55 gol musim ini.
Ianya dilakukan dalam 46 perlawanan dan masih berbaki satu perlawanan untuk beliau terus menggerakkan jumlah jaringan tersebut. Dan Lewandowski telah melakukannya dalam sembilan perlawanan di Champions League secara berturut-turut!
Untuk Champions League beliau hanya kurang dua gol daripada rekod yang dilakukan oleh Cristiano Ronaldo yang meledak 17 gol dalam satu musim Champions League. Beliau juga yang pertama selain Ronaldo meledak 15 gol semusim di saingan itu.
Penutup
Selain itu, Lewandowski juga merupakan penjaring terbanyak untuk tiga kejohanan iaitu dua di Jerman iaitu saingan Bundesliga dengan 34 gol dan DFB Pokal (6 gol) selain tentunya Champions League dengan 15 gol – masih berbaki 1 aksi.
Menariknya lagi, hanya empat pemain di saingan Bundesliga telah berjaya meledak lebih daripada jumlah jaringannya di Champions League ketika ini. Adakah rekod ini tidak cukup untuk beliau diiktiraf sebagai penyerang terbaik di dunia ketika ini?
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES