UCL 2019/20: Lyon Gagal Ulangi Kejutan, Bayern Munich Ke Final

Bayern Munich

Bayern Munich menepati ramalan layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 selepas berjaya menundukkan wakil Perancis, Lyon 3-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Estadio Jose Alvalade, Lisbon sebentar tadi.

Masih segar dengan kejayaan membelasah Barcelona pada aksi suku akhir tempoh hari, skuad bimbingan Hansi Flick itu dilihat lebih mempunyai peluang untuk membuat perhitungan impian menentang Paris Saint-Germain (PSG) di perlawanan akhir.

Ia juga bagai sebuah kisah indah yang sampai ke penghujungnya buat Lyon selepas mereka sebelum ini mencipta kejutan ke atas Juventus dan Manchester City.

Bayern bagaimanapun tidak diberikan laluan yang mudah untuk memenangi perlawanan ini apabila Lyon hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi ketua pasukan, Memphis Depay.

Hasil satu serangan balas pantas dilakukan, larian deras Depay gagal disaingi pertahanan Bayern Munich dan beliau kemudiannya sudah berjaya melepasi kawalan penjaga gol, Manuel Neuer. Percubaan dilakukan Depay bagaimanapun gagal menemui sasaran yang diharapkan.

Lyon sekali lagi hampir di depan pada minit ke-17 tetapi peluang keemasan hasil rembatan Karl Toko Ekambi dalam kawasan penalti Bayern Munich sekadar singgah di tiang gol.

Tidak mahu terus ditekan wakil dari saingan Ligue 1 itu, para pemain Bayern Munich memperkemaskan aksi dan usaha tersebut berhasil hanya berselang seminit kemudian apabila Serge Gnabry berjaya membuka tirai jaringan.

Berpunca daripada hantaran jauh dilakukan Joshua Kimmich, Gnabry meluru pantas menuju ke hadapan pintu gol Lyon sekaligus meledakkan rembatan yang cukup padu dari luar kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol, Anthony Lopes.

Gnabry terus melebarkan kedudukan pada minit ke-33 apabila pemain sayap berusia 25 tahun itu melakukan percubaan susulan yang terus membolosi gawang Lyon ketika percubaan awal Robert Lewandowski terlebih dahulu dinafikan Lopes.

Ketinggalan dua gol tidak langsung mematahkan semangat anak buah Rudi Garcia untuk terus memberikan ancaman ke kubu pertahanan Bayern Munich dengan beberapa percubaan menarik yang dihasilkan.

Bagaimanapun, Neuer nyata begitu tangkas dalam mengawal gawangnya daripada dibolosi terutamanya ketika menepis percubaan menarik Ekambi yang tidak dikawal pertahanan ketika beliau menerima umpanan cantik daripada pemain muda, Houssem Aouar pada minit ke-58.

Lewandowski memadamkan api perjuangan Lyon pada minit ke-88 apabila tandukannya hasil sepakan percuma yang diambil Kimmich gagal dinafikan Lopes untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Jaringan itu juga merupakan gol ke-15 buat Lewandowski setelah mengharungi sembilan perlawanan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Aksi final pada Ahad nanti bakal memberikan ruang buat Bayern Munich untuk memenangi trofi UCL buat kali keenam selepas menjulangnya pada musim 1973/74, 1974/75, 1975/76, 2000/01 dan 2012/13.

Kredit featured image: Franck Fife/Pool via Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN