Stadium Sultan Mizan Sudah Bersedia Untuk Digunakan

Stadium Sultan Mizan

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Gong Badak dijangka boleh digunakan sebelum aksi sepak mula CIMB Liga Super membabitkan Terengganu dan Perak pada 29 Februari ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, keadaan padang sudah bersedia 100 peratus untuk digunakan namun masih ada beberapa kerja akhir sedang giat dijalankan seperti menyiapkan aspek asas bagi kemudahan hari perlawanan.

Jaminan berkenaan diberikan beliau selepas mendapat maklum balas beberapa pasukan yang telah menggunakan padang dalam perlawanan persahabatan sebelum ini selain tahap saliran air yang telah diuji sepenuhnya.

“Pada kita, aspek padang merupakan masalah paling utama sebelum ini kenapa kami tidak boleh bermain di sini dan perkara ini sudah dapat diperbaiki.

“Manakala masalah lain pula di sini yang kami sedang perbaiki ialah disebabkan ketiadaan bumbung yang mengakibatkan berlaku ketirisan dalam stadium dan kami ada lakukan beberapa tindakan termasuk meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik kontraktor bagi atasi masalah ini.

“Mengenai padang baharu yang disumbangkan oleh MFL, kita merakamkan ucapan terima kasih kerana membuatkan Terengganu kembali berpeluang bermain di Stadium Sultan Zainal Abidin.

“Jadi sebelum sepak mula, pihak Kompleks Sukan (Gong Badak) sedang berusaha gigih untuk menyiapkan kemudahan di stadium ini dan saya harap 29 Februari nanti, kita harap diberi kebenaran untuk beraksi selaku tuan rumah di sini, ” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi lawatan Malaysian Football League (MFL) yang melakukan pemeriksaan di Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 18 Februari.

Padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum ini sering kali dilanda masalah selepas cuaca hujan ekoran sistem saliran yang tidak sempurna dan merosakkan permukaan padang serta rumput setiap kali pemain beraksi.

Situasi itu menyebabkan skuad Terengganu FC (TFC) terpaksa beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak awal musim 2017 dan pada April tahun lalu, permukaan padang akhirnya diperbaiki dengan TFC menjadi perintis dalam usaha MFL meningkatkan kualiti padang venue semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Dalam masa sama, Hishamuddin optimis sambutan hangat tetap akan diberikan penyokong walaupun majoriti daripada mereka difahamkan lebih suka TFC beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Beliau percaya perkara itu tidak akan menghalang peminat untuk membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang mampu memuatkan maksimum kira-kira 50,000 peminat.

“Setakat ini saya percaya dengan penyokong tetap akan beri sokongan pada pasukan walaupun daripada sudut keadaan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah lebih digemari kerana jarak padang lebih rapat dengan mereka untuk saksikan perlawanan.

“Namun padang di Stadium Sultan Ismail berbeza dengan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kerana corak yang diterapkan oleh jurulatih, Nafuzi Zain lebih sesuai menggunakan kualiti padang di sini.

“Kami juga ada merancang akan mempelbagaikan aktiviti dengan penyokong tetapi melihat keupayaan kewangan kami selain yakin stadium ini akan diberi perhatian khusus oleh kerajaan negeri, “ katanya.

Kredit foto: Terengganu FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN