Quantcast

LIGA MALAYSIA

Terengganu FC Tak Sabar Kembali Ke Stadium Sultan Mizan

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mendedahkan pasukan bimbingannya hanya menanti detik untuk membuat penampilan kembali di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang kini berada giat dalam proses naik taraf.

Terdahulu, TFC dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) sedang menjalankan projek naik taraf padang SSMZA dalam usaha meningkatkan kualiti venue pasukan bertanding dalam kempen Liga Malaysia.

Pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang memiliki kapasiti 10,000 tempat duduk pada musim ini.

Biarpun SSMZA dijangka dapat digunakan pada musim depan dan tidak menjadi gelanggang TFC untuk kempen Piala Malaysia 2019, Nafuzi kekal optimis anak-anak buahnya mampu mencatatkan keputusan positif.

Keyakinan Nafuzi itu hadir selepas TFC layak ke final meskipun berlatih dengan kondisi padang yang tidak begitu memuaskan membuktikan ia bukan penghalang apabila layak ke pentas final Piala Malaysia musim lalu tetapi tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Perak selepas terikat 3-3 sepanjang 120 minit di Stadium Shah Alam.

Mengulas lanjut, beliau berharap penyokong-penyokong TFC akan membanjiri SSMZA sebaik venue ini akan dibuka sepenuhnya pada musim depan selain menjadi pemangkin semangat buat skuad Penyu menunjukkan prestasi lebih baik pada musim depan.

Sebagai rekod, TFC ketika ini ungguli Kumpulan A Piala Malaysia dengan sembilan mata akan beraksi menentang Kedah pada 13 September manakala menentang PKNS FC pada 17 September ini.

“Untuk Piala Malaysia kali ni memang tak sempat nak pakai stadium itu (SSMZA) namun saya masih mengambil tahu perkembangan dan stadium tersebut mungkin boleh digunakan untuk musim depan.

“Saya sangat teruja untuk menggunakan padang SSMZA dan sudah tentu semua pemain mahukan padang yang cantik dam berkualiti untuk beraksi.

”Bila padang cantik, permainan akan menjadi lagi menarik, kualiti permainan juga berbeza dan aura daripada peminat TFC yang membuatkan SSMZA menjadi satu venue yang disegani,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Nafuzi tidak menolak bahawa penyokong-penyokong akan teruja untuk turun ke stadium jika padamg SSMZA berada di tahap memberangsangkan.

“Padang baik, mestilah peminat akan datang dan bila orang luar datang pun tiada lagi aduan berkenaan padang yang tak berkualiti lagi,” katanya.

Kredit foto: Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu