Brendan Gan: Saya Bukan Naturalisasi!

brendan-gan-malaysia

“Saya bukan pemain naturalisasi.” Itu tegasan daripada pemain tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan mengenai isu naturalisasi dan menurutnya, beliau tidak sama dengan dengan pemain Pahang, Mohamadou Sumareh dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi.

Brendan Gan menjelaskan yang berbanding kedua-dua pemain itu, beliau mempunyai pertalian darah dengan Malaysia iaitu menerusi bapanya yang merupakan rakyat Malaysia.

Mula bermain di Liga Malaysia bersama Sabah pada musim 2012 sebelum kembali ke Australia bersama Rockdale City Suns, Brendan Gan muncul kembali ke Malaysia bersama Kelantan pada 2014, seterusnya Perak (2018) dan kini telah menyertai Selangor.

Tidak gemar dengan panggilan pemain naturalisasi, pemain berusia 31 tahun itu menegaskan yang bapanya berasal dari Seremban, menjadikan beliau ada pertalian kuat dengan Malaysia.

“Saya bukan pemain naturalisasi, disebabkan asal usul bapa saya. Saya sentiasa layak untuk mendapat kad pengenalan dan pasport [Malaysia] kerana bapa saya asal Seremban.

“Situasi saya tidak sama dengan Liridon [Krasniqi] dan [Mohamadou] Sumareh, yang perlu tinggal di sini [untuk mendapat kerakyatan],” jelas Brendan Gan kepada New Straits Times.

Menurutnya lagi, menyarung jersi skuad Harimau Malaya bukan semata-mata hanya untuk mendapatkan kerakyatan dan pasport Malaysia tetapi ianya lebih daripada itu.

“Sesetengah orang datang ke Malaysia pada usia 32, 33 atau 34 tahun, hanya semata-mata mahukan pasport Malaysia, bukan mahu bermain untuk skuad kebangsaan.

“Anda harus bersedia untuk bekerja keras, meletakkan seluruh jiwa dan raga apabila bersama skuad negara. Bukan hanya untuk mendapatkan pasport Malaysia,” tambahnya.

Brendan Gan membuktikan beliau memang mempunyai jiwa untuk bermain bersama skuad kebangsaan. Siapa boleh lupa aksi bertenaganya ketika mengatasi Indonesia 3-2 dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada September tahun lalu.

Ia kemudian diteruskan ketika menang 2-1 ke atas Thailand dengan beliau berjaya meledak gol antarabangsanya yang pertama, selain bantuan gol untuk Mohamadou Sumareh.

Liridon Krasniqi adalah pemain naturalisasi terbaharu skuad negara, yang berkemungkinan bakal membuat penampilan pada Mac depan dalam aksi kelayakan ketika menentang UAE.

Gandingan kedua-dua pemain, Brendan Gan dan Liridon Krasniqi pula dijangkakan bakal dapat disaksikan ketika Malaysia melayan kunjungan Vietnam pada penghujung Mac.

KREDIT FOTO: STADIUM ASTRO

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN