Skuad Gergasi Merah akan kembali beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam apabila kerajaan Selangor memberi lampu hijau untuk menggunakannya bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Menurut laporan daripada Berita Harian, Jaminan itu diberikan oleh Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari yang mengakui bersedia menjalinkan semula kerjasama erat bersama kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal memimpin FAS selaku Presiden mulai 3 Julai ini bagi menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan pada 29 Mei lalu.
“Sebagaimana janji, kita kalau ada perubahan pucuk pimpinan di peringkat FAS dan mereka pula bersedia untuk berbincang dengan kerajaan negeri, kita tiada halangan untuk memberikan kemudahan termasuk peruntukan kewangan.
“Kita mahu nama baik Selangor itu tetap dipelihara dan dijaga. Sebab itu stadium hanyalah sebahagian isu kecil yang saya percaya boleh diselesaikan segera,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Kemelut yang melanda pasukan Selangor bermula pada tahun lepas apabila segala kemudahan seperti Stadium Shah Alam dan pusat latihan di padang SUK ditarik balik oleh kerajaan negeri.
Tindakan itu memaksa pasukan Selangor menggunakan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras buat sementara waktu apabila permohonan untuk menyewa Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa ditolak.
“Selepas berlakunya perubahan, kita akan lebih positif dan berkolaborasi dengan FAS. Perlu saya sebutkan di sini, untuk rekod kita sudah berulang kali cuba menyelesaikan sendiri, namun ada beberapa kekangan yang saya tak boleh ceritakan.
“Sudah sampai masanya, kerajaan negeri berkolaborasi balik demi masa depan bola sepak Selangor,” katanya.
Ketika itu, skuad Red Giants berjaya menamatkan misi 33 dengan menjulang Piala Malaysia pada musim 2015.