Menurut laporan LabolaMalaya, bekas penjaga gol FELDA United, Zarif Irfan Hashimuddin dikhabarkan bakal menyertai Sri Pahang FC, musim depan.
Penjaga gol yang pernah dilabel sedang meningkat naik beberapa tahun lalu itu ‘terpaksa’ berhijrah dek kerana FELDA United gagal dalam perlesenan kelab seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tempohari. Mereka juga dikatakan sudah menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Memetik laporan laman sesawang tersebut, “Sumber LabolaMalaya memberitahu bekas penjaga gol utama PKNS FC dan FELDA United itu telahpun menandatangani kontrak bersama kelab itu [Sri Pahang], beberapa minggu lalu.”
Nampaknya, penjaga gol ‘otai’, Helmi Eliza bakal menerima cabaran sebenar. Sejak menyertai Tok Gajah musim 2016, posisinya tiada pencabar kuat sehinggalah pada musim 2020, bekas penjaga gol skuad negara, Sharbinee Allawee hadir memberikan cabaran. Begitupun, kontraknya tidak dilanjutkan ke musim depan.
Zarif Irfan merupakan penjaga gol yang memiliki reputasi baik ketika bersama PKNS FC sehingga telah dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Begitupun, beliau masih belum meraih sebarang penampilan bersama Harimau Malaya sehingga kini. Kariernya agak terumbang ambing selepas PKNS FC ‘berkubur’ dan telah menjadi pasukan simpanan kepada Selangor, bermula pada musim lalu.
Sebelum itu, musim 2016 dan 2017, beliau sudah bermain di Selangor, namun menjadi pilihan ketiga di belakang Khairulazhan Khalid dan Norazlan Razali.
Former PKNS goalie Zarif Irfan Hashimuddin joins Felda United for the Super League 2020. Had a sensational start in 2019, and was even called up to the national team. #MSL2020 pic.twitter.com/bYWl2uWG2A
— T. Avineshwaran (@avineshW90) November 25, 2019
Di FELDA United, beliau menjadi pilihan kedua di belakang Muhaimin Mohamad dan hanya tampil beraksi sebanyak 180 minit dalam dua penampilan.
Dan buat kali kedua, pasukan yang disertainya ‘bungkus’. Jika benar khabar angin penghijrahannya ke Sri Pahang ini, peluang Zarif Irfan tampak lebih cerah dek kerana penurunan prestasi Helmi Eliza yang sudah mula menginjak ke usia 38 tahun.
Perkembangan Sri Pahang kurang mendapat liputan, malah khabar penyertaan Sergio Aguero dan Lee Tuck juga masih tidak diumumkan secara rasmi.
Hanya dapat dipastikan, Tok Gajah melepaskan empat daripada lima pemain import mereka iaitu Dickson Nwakaeme, Adam Reed, Ivan Carlos dan Khalil Khamis. Beberapa tonggak tempatan turut dilepaskan antaranya R. Dinesh, Nik Sharif Haseefy, Gopi Rizqi dan pemain paling menyerlah musim ini, Faisal Halim.
KREDIT FEATURED IMAGE: Vincent Phoon Chee Wai/PKNS FC
Baca lagi artikel lain mengenai Zarif Irfan dan Sri Pahang:
Analisis: Debut Untuk Ifwat Akmal, Zarif Irfan Atau Kekalkan Farizal Marlias Di Gawang?
Desas Desus Tagih Anak Jati, Abdul Malik Mat Arif Kembali Ke Pahang?
Pengurus Pahang Dedahkan Sebab Kelewatan Gaji Mohamadou Sumareh