Desas Desus Tagih Anak Jati, Abdul Malik Mat Arif Kembali Ke Pahang?

abdul malik mat arif kuantan fa pahang

Pahang dikhabarkan mahu menagih semula kudrat anak jati apabila penyerang yang agak lama ‘menghilang’, Abdul Malik Mat Arif dikatakan membuat kemunculan semula.

Apabila dilepaskan Terengganu FC penghujung musim 2019, Abdul Malik dilihat hilang daripada arena bola sepak tempatan walaupun pada satu ketika dikatakan beliau sedang mengadakan perbincangan bersama tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) – dua daripada Liga Super dan satu pasukan daripada Liga Premier.

Menurut wartawaran The Star, T. Avineshwaran, bekas pemenang Kasut Emas Liga Premier 2017 itu ketika ini dikatakan bakal kembali bersama Pahang selepas menyertai Kuantan FA pada 2014, sebelum ke Terengganu pada 2018.

Dianggap antara prospek terbaik Pahang pada satu ketika, Abdul Malik lebih menyerlah bersama Kuantan FA dengan meledak 33 gol dalam dua musim di Liga Premier. Prestasi baiknya itulah yang memikat Irfan Bakti untuk memancingnya bersama Terengganu. Aksinya di sana dibatasi dengan dua kecederaan panjang.

Melihat kepada perkongsian di Instagramnya, Abdul Malik dilihat sudah mula ‘memanaskan enjin’ selepas sekian lama berehat dan beraksi bersama rakan-rakan yang pernah bermain bersama di skuad Piala Presiden Pahang 2010. Beliau juga berkongsi gambar bersama bekas pemain Pahang 1992, Zulhamizan Zakaria.

Mungkin itu adalah antara petanda yang diberikannya yang beliau bakal kembali beraksi bersama Tok Gajah. Namun, masih belum ada kenyataan rasmi daripada kedua-dua pihak mengenai penyertaan pemain yang digelar ‘lipas kudung’ itu.

Dalam pada itu, Pahang dikhabarkan telah membawa masuk dua pemain daripada pasukan yang sudah menarik diri daripada saingan Liga M, FELDA United iaitu penjaga gol, Muhaimin Mohamad dan pertahanan kanan, Ezanie Mat Salleh.

Mereka juga telah mengesahkan kemasukkan dua pemain import untuk posisi tengah dan serangan iaitu bekas kapten Terengganu, Lee Tuck dengan kontrak dua tahun dan penyerang yang cemerlang di Pulau Pinang musim 2019, Sergio Aguero.

Menurut Avineshwaran lagi, juara Piala FA 2018 itu sedang mengintai beberapa pemain kelahiran Pahang untuk mengukuhkan semula pasukan untuk saingan musim hadapan. Tidak dapat dipastikan pemain mana lagi yang menjadi buruan mereka, namun salah satu nama yang meniti di bibir penyokong adalah Fauzi Roslan.

KREDIT FEATURED IMAGE: LUQMAN HAKIM ZUBIR/BERITA HARIAN

Baca lagi artikel mengenai Abdul Malik Mat Arif dan Pahang FA:

Malik Tolak Tawaran Sertai Kelab Thailand Kerana Belum Bersedia

Piala Malaysia: Malik Mat Ariff Hero Terengganu Benam JDT

Mohammed Suffian: Nama Sri Pahang Dapat Undian Tertinggi Peminat

Leave a Reply