Quantcast

BERITA

Skuad Futsal B-20 Negara Lepasi Cabaran Awal, Menang Tipis Keatas Myanmar

Cabaran skuad futsal negara dalam saingan Kelayakan Futsal AFC B-20 2019 bermula dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan Myanmar 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Hua Mak, Bangkok, petang semalam.

Jaringan tunggal daripada Ekmal Shahrin sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat skuad yang dibimbing Jamhuri Zainuddin itu.

Pada perlawanan yang berlangsung jam 5.15 petang semalam, skuad negara mendapat tentangan yang cukup sengit daripada para pemain Myanmar yang jelas banyak menghadirkan serangan berbahaya ke kubu skuad negara.

Kecemerlangan yang ditampilkan penjaga gol, Aiman Fikry Ramli cukup memukau apabila pemain yang mewakili Selangor dalam saingan Sukan Malaysia (SUKMA) itu berhempas pulas bagi mengelak gawangnya dari dibolosi.

Jaringan yang dinantikan segelintir penyokong negara yang memberikan sokongan buat skuad muda ini menjelma pada minit ke-29 selepas Ekmal berjaya menyudahkan peluang bermula dari usaha beliau menghalang kemaraan pemain Myanmar dari kawasan lawan.

Pemain berusia 19 tahun ini kemudiannya melakukan percubaan yang terus menerjah ke gawang Myanmar ketika penjaga gol mereka sudah pun berada di luar kawasannya.

Myanmar selepas itu cuba untuk bangkit bagi kembali menyamakan kedudukan dan memaksa perubahan taktikal ‘powerplay’ terpaksa digunakan.

Bagaimanapun usaha tersebut turut gagal menghasilkan jaringan yang diharapkan untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat skuad B-20 negara.

Lima pasukan rebut slot

Pusingan kelayakan ini menyaksikan Thailand, Indonesia dan Vietnam turut bersaing bagi merebut tiga slot ke pusingan akhir pada tahun hadapan.

Hanya tiga pasukan teratas peringkat kelayakan ini akan melayakkan diri ke Kejuaraan Futsal AFC B-20 2019.

Misi seterusnya buat skuad negara adalah bertemu Thailand pada jam 3.00 petang (waktu tanah air) ini.

Kredit foto: AFC

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!