Quantcast

BERITA

Swindon Town Raikan Seorang Penyokong Setia Yang Hadir 2000 Perlawanan

Apakah perasaan anda sekiranya pasukan kesayangan memberikan penghargaan kepada anda? Tetapi penghargaan itu diberi atas rekod luar biasa anda?

Itu yang terjadi kepada seorang lelaki bernama Derek Elston.

Siapakah beliau?

Derek Elston merupakan seorang penyokong kelab EFL League Two, Swindon Town. Beliau akan ke mana sahaja perlawanan melibatkan Swindon Town.

Tidak mengiralah sama ada piala atau liga, beliau akan bersama pasukan kesayangannya. Kali terakhir beliau tertinggal untuk menonton perlawanan melibatkan Swindon ialah pada 5 Disember 1981.

Malah, beliau sempat menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris di mana Swindon bermain pada musim 1993/94.

Swindon Town seringkali naik turun liga dalam sistem piramid bola sepak Inggeris. Namun Derek sentiasa setia bersama kelabnya.

Setia

Derek yang pernah bekerja sebagai juruelektrik berumur 68 tahun ini telah diraikan dalam majlis ringkas pada 2 Disember lalu. Beliau dihadiahkan jersi khas dan kek.

Kek istimewa yang berbentuk 2000 sebenarnya ditujukan kepada Derek kerana sudah menghadiri 2000 perlawanan Swindon Town secara berturut-turut!

Beliau pernah meninggalkan hospital selepas pembedahan lutut dan menuju Carlisle di utara England untuk menonton perlawanan di sana. Mujurlah isterinya memandu ke sana!

Derek turut memberitahu bahawa faktor kesihatan akan menjejaskan beliau untuk menonton perlawanan selepas ini.

Menakjubkan

Derek Elston diberikan kek oleh kelabnya. Sumber: BBC.

Kira-kira 37 tahun diambil olehnya untuk memenuhi angka 2000 perlawanan itu. Tidak hairanlah pihak pengurusan kelab meraikan beliau pada hari bersejarah itu.

Derek juga memberitahu bahawa beliau mengumpul hampir keseluruhan 2000 match programme serta 7000 pin baju.

Penghargaan peminat seperti ini amatlah perlu. Lagi-lagi peminat yang setia bersama susah senang. Malah, sistem pangkalan data yang baik amat perlu dimiliki oleh kelab bola sepak untuk memberikan insentif kepada peminat setia.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!