Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan Skuad Hang Tuah apabila gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut sehingga mengundang pelbagai kecaman daripada penyokongnya.
Terbaharu, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu tewas 0-1 kepada PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung hasil jaringan sendiri Ahmad Khuzaimi Piee.
Mengulas mengenai prestasi skuad Melaka United, kapten pasukan, Shukor Adan mengakui kecewa dan pada masa yang sama menyifatkan pasukannya kini berada dalam bahaya ketika pasukan bawahan kini dilihat sedang mempamerkan peningkatan.
“Saya pun tak tahu apa yang berlaku. Kami memperoleh banyak peluang tetapi inilah masalah yang kami hadapi. Sekarang ini, cantik atau buruk (corak) permainan, kalau tak jaringkan gol, inilah keputusan yang terpaksa kami tanggung.
“Jujur saya katakan, bukan hanya penyokong tetapi kami sebagai pemain juga kecewa. Dengan keadaan sekarang pasukan bawahan sudah mula ada mentaliti kemenangan sedangkan kami belum menang lagi dalam beberapa perlawanan terakhir. Jadi, mahu atau tidak kami perlu bangkit,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.
Shukor turut menyeru rakan sepasukannya agar kembali bangkit pada perlawanan Liga Super menentang Kedah minggu depan untuk menyakinkan semula para penyokong mereka.
“Apa yang ada sekarang sudah carca-marba. Jadi saya harap lawan Kedah nanti barisan terbaik dapat diturunkan untuk mengembalikan pasukan ke landasan kemenangan,” katanya lagi.
Sementara itu, Penolong Jurulatih Melaka United, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, kesilapan individu yang dilakukan anak-anak buahnya menyebabkan mereka terpaksa berputih mata.
Sebelum ini, pasukan Hang Tuah itu tewas 2-3 kepada PKNS dalam saingan Piala FA dan 3-4 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super di hadapan penyokong sendiri.
“Jika kita rumuskan balik, ketiga-tiga perlawanan yang kita tewas, kesemua gol pihak lawan adalah kesilapan pemain sendiri.
“Jadi, tidak lain tidak bukan kita perlu gandakan usaha dan tingkatkan latihan (membaiki kesilapan pertahanan) untuk kita mendapat keputusan yang positif,” katanya.