Quantcast

BERITA

Tajaan Al Ikhsan Suntik Semangat Nurul Izzati, Mahu Bantu Kedah Pertahan Kejuaraan PTSR 2019

Dua pemain bola sepak wanita Kedah, Nurul Izzati Zainol dan Atin Surang mendapat tonik berguna menjelang kempen Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2019.

Kedua-dua pemain yang menjadi tonggak kepada kejayaan Kedah menjuarai saingan musim lalu itu mendapat tajaan sepasang kasut bola jenama AL daripada pihak Al Ikhsan, petang semalam.

Izzati yang beraksi di posisi sayap kiri ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA menyifatkan pemberian daripada Al Ikhsan itu jelas meningkatkan moralnya bagi membantu Kedah dalam usaha mengekalkan kejuaraan.

Nurul Izzati Zainol

”Pada mulanya saya terkejut setelah dipanggil untuk menerima tajaan ini, sebelum ini saya tidak pernah mendapat tajaan, apatah lagi kasut bola.”

”Sudah pasti ia akan membuatkan saya semakin bersemangat untuk beraksi sekaligus memburu lebih banyak jaringan dalam saingan PTSR 2019.”

”Selaku juara bertahan, sudah semestinya saya dan rakan sepasukan mahu Kedah mempertahankan mahkota kejuaraan tersebut. Kami akan berusaha untuk menjadikan ianya sebagai satu kenyataan.”

Atin Surang merupakan penjaring gol kedua Kedah ketika menumpaskan Melaka 2-0 diĀ  perlawanan akhir Piala Tun Sharifah Rodziah 2018.

Kedah muncul juara PTSR 2018 selepas berjaya menundukkan Melaka 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Saingan pada musim ini pula dijadualkan akan bermula 20 April dan berakhir pada 14 Julai dengan kesemua perlawanan peringkat liga akan dilangsungkan di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.

Selain Kedah, tujuh lagi pasukan yang menyertai kejohanan yang diperkenalkan pada tahun 1976 itu adalah Melaka, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, ATM dan PDRM.

Kredit foto: Bolasepak Wanita Kedah

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!