Berbekalkan kelebihan 4 gol melalui perlawanan separuh akhir pertama Shoppe Piala FA, Selangor tiba di Shah Alam dengan tekad enggan mengulangi episod di suku akhir dari berulang.
Hampir dimalukan oleh Kuala Lumpur melalui penentuan sepakan penalti setelah memiliki kelebihan tiga gol sebelum itu, anak buah Nazliazmi Nasir sedar perjuangan belum berakhir selagi baki 90 minit aksi belum berakhir.
Kali terakhir Selangor melangkah ke perlawanan akhir di pertandingan ini ialah pada 2009, apabila muncul juara dengan menewaskan Kelantan melalui penentuan sepakan penalti.
PKNS FC selaku tuan rumah memulakan perlawanan dengan formasi 4-1-4-1, manakala Selangor lebih selesa dengan sistem 4-3-3.
Tidak banyak aksi boleh dikatakan pada babak pertama perlawanan apabila kedudukan terikat 0-0 sehingga rehat separuh masa pertama.
Hanya sepakan percuma daripada Amri Yahyah pada minit ke-23 perlawanan kelihatan mengancam, namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Tauffiq Rasyid Johar.
Babak kedua bermula menyaksikan Selangor di hadapan melalui jaringan pemain import, Rufino Segovia yang bijak menghukum kesilapan pemain pertahanan lawan, Daniel Ting pada minit ke-70 perlawanan.
Jaringan tersebut seolah-olah mengesahkan tempat Selangor di perlawanan akhir dengan agregat 5-0.
PKNS FC akhirnya pulang dengan satu gol sagu hati apabila Alif Haikal Sabri menjadikan kedudukan semasa 1-1.
Tamat perlawanan, Selangor melangkah ke perlawanan akhir Shopee Piala FA 2018, menewaskan PKNS FC dengan agregat 5-1.