Shopee Piala FA: Penalti Rodriguez Buat Kedah Lega, Menang Tipis Ke Atas Felda United

Edgar Bernhardt, Kedah

Bukanlah skrip yang indah buat juara Piala FA 2017, Kedah apabila hanya memperolehi bekalan 1 gol untuk dibawa ke Jengka pada penghujung Jun selepas menang 1-0 ke atas FELDA United dalam aksi separuh akhir pertama Shopee Piala FA 2019, sebentar tadi.

Biarpun lawan tampil serba kekurangan di Stadium Darul Aman, tuan rumah gagal memanfaatkan deretan peluang yang mereka miliki sejak dari babak pertama dan hanya mengharapkan gol penalti oleh Fernando Rodriguez untuk menewaskan The Fighters.

Turun dengan 5 pemain yang berumur bawah 22 tahun dan juga formasi yang agak bertahan iaitu 5-3-2, FELDA United tampak kurang menekan Kedah dan telah diasak seawal minit ke-5 dengan percubaan tandukan rendah Jonatan Bauman yang tersasar.

FELDA United cuba mengecilkan ruang di bahagian benteng dengan ‘melambakkan’ seramai mungkin pemain di kubu setiap kali tuan rumah tampil mengasak. Begitupun, Kedah masih mampu menyusup masuk untuk melepaskan percubaan ke gawang gol.

Antaranya seperti percubaan tersasar oleh Hidhir Idris dan Edgar Bernhardt pada minit ke-11 dan 17. Norazlan Razali masih belum betul diuji biarpun bentengnya acap kali berjaya dilolosi lawan.

Zaquan Adha, Kedah
FOTO: MFL

Minit ke-25, giliran fokal serangan Helang Merah di bahagian sayap kanan, Zaquan Adha pula terlepas peluang meledak gol apabila lambungan Jonatan Bauman di hadapan gol lawan gagal disudahkan dengan gol apabila sentuhannya juga tersasar.

Kedah hampir mendahului perlawanan di minit ke-32 apabila hantaran lintang Rizal Ghazali berjaya menemui kepala Jonatan Bauman namun ianya berjaya diselamatkan oleh Norazlan Razali.

Disebalik penampilan taktikal ultra defensive pelawat, Kedah juga wajar memikirkan mengapa mereka gagal memanfaatkan deretan peluang yang dimiliki seterusnya mendahului perlawanan.

Tiada asakan mampu dihasilkan oleh FELDA United sepanjang babak pertama dengan benteng tuan rumah yang diterajui Renan Alves dan Shakir Hamzah diberikan berehat panjang. Renan Alves juga miliki peluang untuk menjaringkan gol di minit ke-37.

Ketumpulan tuan rumah berterusan di babak kedua dengan Norazlan Razali berjaya menyelamatkan gawangnya menerusi sepakan percuma deras Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti pada minit ke-50 dan kemudian sekali lagi berjaya menyelamatkan percubaan kaki kiri Jonatan Bauman 7 minit kemudian.

Minit ke-53, barulah Ifwat Akmal diuji buat kali pertama menerusi sepakan percuma kapten pelawat, Jasazrin Jamaluddin dan susulan semula oleh pemain tengah, Faiz Mazlan berjaya dinafikannya. Ia adalah percubaan pertama dan terbaik oleh FELDA United.

Jonatan Bauman, Kedah
FOTO: MFL

Kecemerlangan penjaga gawang The Fighters, Norazlan Razali berjaya menafikan deretan peluang yang dicipta oleh tuan rumah wajar diberikan kredit antaranya aksi akrobatik menepis lencongan jarak jauh bek kiri, Azmeer Yusof dan rembatan Jonatan Bauman.

Akhirnya, kebuntuan gol berjaya juga dileraikan apabila Fernando Rodriguez berjaya meledak gol pembukaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-70 berpunca daripada kekasaran yang berlaku ketika sepakan penjuru diambil oleh Kedah sebelum itu.

Helang Merah tampak menguasai perlawanan sejak dari awal permainan dengan formasi taktikal 4-2-3-1 namun kegagalan jentera serangan mengegar gawang lawan mengecewakan mereka.

Hadin Azman yang masuk menggantikan Kei Ikeda pada minit ke-85, hampir meledak gol penyamaan di penghujung perlawanan namun ianya sedikit tersasar di sisi kanan gol Kedah. Peluang kedua terbaik yang berjaya dihasilkan oleh pelawat.

Bekalan 1 gol yang dibawa ke laman lawan dilihat kurang selesa namun berbanding lawan, Kedah sebenarnya miliki banyak kelebihan untuk layak ke final. Satu isu yang perlu diselesaikan oleh Aidil Sharin Sahak adalah prestasi jentera serangannya.

Kedah: Ifwat Akmal (PG), Renan Alves, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali, Azmeer Yusof, Baddrol Bakhtiar (K), Edgar Bernhardt (78′ David Rowley), Zaquan Adha (85′ N. Thanabalan), Hidhir Idris (59′ Fayadh Amin), Jonatan Bauman, Fernando Rodriguez

Felda United: Norazlan Razali (PG), Raffi Nagoorgani, Jadid Ilias, Haziq Puad, Anwar Ibrahim, Tasnim Fitri, Jasazrin Jamaluddin (K), Faiz Mazlan, Zahril Azri, S. Chanturu (85′ Sadam Hashim), Kie Ikeda (85′ Hadin Azman)

Kredit Featured Image: MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN