Serie A 2020/21: Jaringan Terpantas Saingan Liga Serikan Kemenangan AC Milan

Jaringan terpantas

AC Milan meneruskan rekod tanpa kalah dalam saingan Serie A 2020/21 apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sassuolo pada aksi ke-13 yang berlangsung di Mapei Stadium, awal pagi tadi.

Kemenangan penting itu bukan sahaja mengekalkan kedudukan AC Milan di kedudukan teratas liga dengan kelebihan satu mata berbanding seteru setempat, Inter Milan, malah ada perkara yang lebih menarik untuk diperkatakan.

Hal ini kerana gol pembukaan yang dihasilkan pemain muda skuad Rossoneri, Rafael Leao ketika permainan baharu sahaja memasuki saat keenam perlawanan, kini merupakan jaringan terpantas dalam sejarah Serie A.

Rekod jaringan terpantas kempen Serie A sebelum ini dipegang pemain Piacenza, Paolo Poggi apabila beliau memerlukan lapan saat untuk membuka tirai jaringan dalam membantu kelabnya menumpaskan Fiorentina 3-1 pada musim 2001/02. Secara kebetulan, jaringan Poggi itu juga menjelma pada bulan Disember. Sama seperti dilakukan oleh Leao.

Bermula dengan gerakan solo Hakan Calhanoglu dari tengah padang yang kemudiannya melorongkan bola buat Leao lalu pemain kelahiran Almada, Portugal itu dengan tenang menolak masuk bola dalam kawasan penalti bagi menewaskan penjaga gol tuan rumah, Andrea Consigli.

Calhanoglu hampir menambah jaringan pada minit kesembilan tetapi jaringannya terpaksa dibatalkan selepas rujukan VAR mendakwa pemain sayap, Alexis Saelemaekers terlebih dahulu berada dalam keadaan ofsaid.

Pemain muda kelahiran Belgium itu menebus kehampaan pada minit ke-26 selepas beliau tenang menolak masuk bola hasil hantaran lintang Theo Hernandez dari sebelah kanan pintu gol Sassuolo.

Domenico Berardi cuba untuk merapatkan kedudukan pada mini ke-89 tetapi jaringan itu masih belum cukup untuk menghalang skuad kendalian Stefano Pioli itu daripada meraih kemenangan kesembilan musim ini.

Kemenangan itu juga menyaksikan AC Milan dan Juventus masih lagi menjadi pasukan yang masih belum tewas selepas mengharungi 13 perlawanan musim ini.

Kredit featured image: Alessandro Sabattini/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai AC Milan:

Ruud Van Nistelrooy: Pertahanan AC Milan 2004/05 Paling Sukar Dihadapi

Stefano Pioli Berjaya Buat Satu Benda Yang Pengurus AC Milan Lain Gagal

Jens Petter Hauge: Budak Ajaib AC Milan Dari Wilayah Bodø

Leave a Reply