Ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos menegaskan bahawa beliau lebih berminat untuk melihat Lionel Messi terus kekal bersama Barcelona selepas bintang bola sepak dunia itu berkeras untuk meninggalkan kelab tersebut.
Messi sentiasa menjadi watak yang menggerunkan para pemain Real Madrid terutamanya buat barisan pemain pertahanan setiap kali pertembungan tradisi bergelar ‘El Clasico’ dalam saingan La Liga itu berlangsung.
Legenda hidup berusia 33 tahun itu bagaimanapun dikatakan semakin hampir untuk meninggalkan The Blaugrana susulan masalah dalaman yang dihadapi serta kekalahan 2-8 di tangan Bayern Munich tempoh hari.
Messi dikatakan berminat untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dan desas-desus itu semakin kuat apabila bapa Messi, Jorge turut memberikan bayangan jelas dengan mengatakan amat sukar buat anaknya untuk terus kekal bersama Barcelona.
Sebagai pencabar utama Barcelona dalam saingan La Liga, Ramos tidak melihat ianya sebagai satu perkembangan yang baik dan sebaliknya beliau mahu melihat Messi terus memperkuatkan skuad Barcelona.
”Ia merupakan satu perkara yang kami tidak begitu memberikan fokus tetapi pemain mempunyai hak untuk memikirkan dan memilih masa depan mereka.”
”Dengan mengatakan sedemikian rupa, untuk permainan Sepanyol serta Barcelona dan kami semua, kami lebih gemar untuk melihat dia kekal sebagaimana kami mahukan yang terbaik,” ujar Sergio Ramos menurut laporan Goal.
Messi dan Barcelona boleh diibaratkan bagai aur dengan tebing apabila beliau telah bersama kelab gergasi Sepanyol itu sejak berusia 14 tahun lagi.
Beliau telah membuat 731 penampilan dan berjaya menjaringkan 634 gol dan mencipta 285 bantuan jaringan dalam semua pertandingan disertai sejak menyertai skuad utama Barcelona pada musim 2004/05/
Kredit featured image: Quality Sport Images/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai El Clasico: