Penyerang Manchester City, Sergio Aguero mengakui beliau jelas tidak memahami mengapa sentiasa Lionel Messi menjadi sasaran kritikan sekiranya skuad kebangsaan Argentina gagal mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, Aguero beranggapan bahawa bintang dunia kelahiran Rosario tersebut menjadi ‘yang pertama menderita’ dan tetap bersedia untuk berjuang menyarung jersi skuad La Albiceleste di sebalik perkara negatif dihadapi dalam karier antarabangsanya.
”Saya tidak faham mengapa mereka mengkritiknya [Lionel Messi] ketika bersama skuad kebangsaan.”
”Dia adalah orang pertama yang menderita tetapi dia tetap melangkah ke hadapan dan meneruskannya,” ujar Aguero menurut laporan dikeluarkan Goal.
Meskipun mengecap terlalu banyak kejayaan ketika bersama Barcelona, karier antarabangsa Messi dilihat amat mengecewakan apabila tiada sebarang kejuaraan di peringkat senior dapat dijulang pemain yang kini menjengah usia 33 tahun ini.
Yang paling hampir buat Argentina dan Messi adalah perlawanan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil tetapi jaringan kemenangan pada minit ke-113 oleh Mario Gotze membolehkan Jerman menjulang kejuaraan buat kali keempat.
Nasib yang sama turut dialami ketika kempen Copa Amerika 2015 dan 2016 apabila kedua-duanya tunduk kepada Chile menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit berkesudahan tanpa jaringan.
Messi turut pernah mengumumkan persaraan selepas tumpas ditangan Perancis pada peringkat 16 Piala Dunia 2018 sebelum kembali membuat ‘u-turn’ dengan kembali semula bagi membantu Argentina layak ke separuh akhir Copa Amerika tahun lalu.
Kredit foto: Chris Brunskill/Fantasista/Getty Images