Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Bagaimana Sergio Aguero Dapat Debut Profesional Pada Umur 15 Tahun

Pada tahun 1928, editor majalah El Grafico, Borocotó pernah memberitahu – jika sebuah tugu yang menyingkap semangat bola sepak Argentina didirikan, ia perlu diabadikan dalam bentuk badan seorang pibe (budak kecil).

Pibe tersebut mempunyai muka yang comot, tulis Borocotó dalam El Grafico. “Matanya bulat. Personalitinya nakal – tetapi baik hati. Giginya rongak kerana selalu makan roti lama yang keras,” jelasnya lagi. Borocotó juga membayangkan pibe tersebut menghabiskan banyak masanya di potreros (padang botak).

Dari satu segi, anda boleh lihat penjelmaan semula pibe dalam keperibadian majoriti pemain bola sepak Argentina. Seperti pibe, badan mereka mungkin kecil – tetapi keras apabila dicabar. Laju. Tenang apabila tekanan menggunung. Marah apabila diganti keluar. Tetapi malu-malu apabila lensa kamera dihala ke arahnya.

Melihat Sergio Aguero bermain, anda boleh nampak jati diri pibe dalam dirinya. Di mata datuknya, Aguero sentiasa merupakan pibe yang bernama ‘Kun’. Nama timangan tersebut diberinya kepada Aguero sempena nama watak utama siri kartun Jepun, Wanpaku Omukashi Kumu Kumu, yang sering mereka tengok bersama.

Nama timangan tersebut melekat sehingga kini. Begitu juga dengan jati diri pibe yang dibentuk hasil kesusahan ibu bapa Aguero, Adriana Aguero dan Leonel del Castillo, membesarkannya di sebuah villa miseria (setinggan) di selatan Buenos Aires, Los Eucaliptos. Tak banyak kerja boleh didapati di bandar tepi laut ini – melainkan di pelabuhan Puerto Madero. Di sinilah Leonel bekerja untuk menyara Aguero, 5 adik-beradiknya dan isterinya.

Little Sergio Aguero with his father and youth coach at Independiente.

Sergio Aguero bersama bapanya, Lionel (kiri) dan jurulatih skuad remaja Independiente.

Setiap petang selepas habis kerja, Leonel akan bermain bola sepak untuk pasukan komunitinya, Dardo Rocha dalam liga negeri, Liga de Bernal. Di Argentina, pemain-pemain liga komuniti biasanya akan membawa anak-anak lelaki mereka bersama ke tempat perlawanan. Tetapi bukan untuk menonton perlawanan, sebaliknya untuk membiarkan mereka bermain dalam liga baby futbol – liga khas untuk anak-anak pemain.

Di sinilah Aguero mula mencuri tumpuan. Orang ramai yang pada mulanya datang untuk menyaksikan 22 lelaki dewasa beraksi dalam Liga de Bernal, kemudiannya beralih menyaksikan liga baby futbol pula. Semuanya gara-gara mulut Jorge Ariza, pembuat roti yang memberitahu semua orang; ada pibe berumur 7 tahun yang hebat beraksi dalam liga ini. Pibe ini bakal menjadi bintang. Pibe ini perlu dihantar ke Independiente.

Independiente merupakan salah satu daripada 5 kelab terbesar di Argentina termasuklah Boca Juniors, River Plate, Racing Club dan San Lorenzo (Photo by Marcelo Endelli/Getty Images)

Di setinggan tempat Aguero membesar, Independiente adalah segala-galanya. Ia adalah nuansa impian mutlak bagi pibe yang baru bermain bola sepak seperti Aguero. Ia adalah sumber kebanggaan bagi ploteriat seperti bapa Aguero, yang hidupnya bergelut mencari duit untuk membeli roti segar untuk keluarga.

Di Buenos Aires, jika anda jumpa seorang pibe miskin tetapi berbakat di kawasan anda, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan dia mempunyai duit tambang bas, kasut bola dan makanan secukupnya untuk dia dapat masuk ke akademi Independiente. Bukan tanggungjawab bapanya seorang. Dalam kes Aguero, orang tersebut adalah wartawan tempatan, Eduardo González. Atas usaha beliaulah, Sergio Aguero dapat masuk ke akademi Independiente pada umur 9 tahun.

Di Independiente, reputasi Aguero pantas mencanak naik. Kebolehan teknikal – terutamanya penyudah – beliau menjadi sebutan sehingga menarik minat ketua jurulatih skuad senior, César Luis Menotti untuk melihat aksi beliau. “Dia main macam Romario,” kata Menotti yang juga merupakan ketua jurulatih Argentina yang menjuarai Piala Dunia 1978. Jurulatih akademi dan lagenda kelab, Ricardo Bochini memuji keyakinan Aguero setiap kali memiliki bola di kakinya.

Keyakinan memiliki bola dan teknik penyudah yang tajam inilah yang membolehkan penyerang yang menyarung Puma One ini menjaringkan 101 gol dalam 234 penampilan bersama Atletico Madrid dan – setakat ini – 162 gol dalam 232 perlawanan bersama Manchester City.

Aguero Puma One Hacked Pack 2019

Aguero kini merupakan penjaring gol ke-8 paling prolifik dan penjaring gol bukan Eropah paling prolifik dalam sejarah Premier League.

6 tahun kemudian, ketika umurnya 15 tahun 33 hari, pada Julai 2003, hari terakhir musim Clausura, Sergio Aguero membuat kemunculan senior pertama untuk Independiente, ketika menentang San Lorenzo. Riak wajahnya ketika masuk menepati visi pibe ilham Borocotó – tenang ketika seluruh mata tertumpu kepadanya. Pada hari itu, Aguero memecah rekod seorang lagi pibe, Diego Maradona sebagai pemain termuda pernah bermain dalam liga Argentina.

Ketika jurulatih-jurulatih Eropah agak berhati-hati sebelum memperkenalkan pemain bawah-18 dalam bola sepak senior, ketua jurulatih Independiente pada ketika itu, Oscar Ruggeri, mengambil pendekatan berbeza.

Bochini syak satu-satunya motif Ruggeri memasukkan Aguero pada usia 15 tahun adalah tak lain tak bukan untuk membuatkan namanya diingati. Hujah Bochini ada kebenarannya. Selepas debut tersebut, Aguero tidak pernah bermain lagi di bawah Ruggeri. Aguero disenaraikan dalam kesebelasan utama sebanyak 2 kali pada musim berikutnya, dan 8 kali pada musim seterusnya. Hanya pada musim 2005/2006, barulah prodigi ini bermain secara kerap.

Sergio Aguero mula menjadi penyerang utama Independiente pada umur 18 tahun.

Walau apa pun motif Ruggeri memberi debut kepada pibe berumur 15 tahun, tidak sukar untuk memahami motif beliau. Apabila anda ada peluang untuk mencetak nama dalam sejarah bakal bintang seperti Aguero, anda tidak akan lepaskan peluang melakukannya. Lagipun mentaliti bola sepak Argentina – dan Amerika Selatan secara amnya – berbeza dengan Eropah.

Di Eropah, jurulatih cukup takut meletakkan tekanan kepada pemain muda. Tetapi di Argentina, jurulatih percaya kemiskinan melahirkan pibe yang mendefinisikan ‘tekanan’ 180 darjah berbeza daripada pemain muda Eropah. Ketika ditanya wartawan apakah beliau mula rasa tekanan selepas berhijrah ke Atletico Madrid dengan rekod yuran perpindahan termahal kelab (€20 juta), Aguero hanya menjawab:

“Tekanan? Tekanan yang sebenar adalah hidup di villa miseria”.

Hack the game seperti Aguero

Bercakap mengenai Aguero, izinkan kami untuk memberitahu anda tentang Puma One – kasut bola yang ketika ini dipakai oleh beliau.

Jika anda inginkan kasut bola yang ringan, rekaan yang moden, selesa dan menjamin sentuhan dan kawalan bola yang premium seperti Aguero, Hacked Pack Puma One adalah kasut bola yang anda cari-cari.

Dilengkapi teknologi tapak RAPIDSPRINT untuk memaksimumkan pecutan larian anda, Hacked Pack Puma One turut mempunyai sentuhan visual sisi gelap dunia digital dan corak penyamaran hijau 8-bit yang cantik.

Puma One Hacked Pack - Features

Untuk memastikan muatan yang selesa, PUMA One turut menampilkan sarung evoKNIT dengan teknologi FUSEFIT untuk membolehkan pemain memilih kemuatan yang disukai. Permukaan atas PUMA One yang diperbuat daripada K-leather pula menjamin sentuhan dan kawalan bola yang diperlukan oleh anda untuk menjaringkan gol – seperti Aguero.

Puma One Hacked Pack Sergio Aguero

Dijual dengan harga RM829 untuk gred pertama untuk kedua-dua variasi PUMA One 19.1 dan PUMA FUTURE 19.1, taruhan terbaru PUMA ini bakal menemui anda di pasaran Malaysia mulai 4 April ini di butik bola sepak PUMA (The Gardens, KLCC dan One Utama) serta cawangan Football Republic di seluruh negara.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!