7 Supersub Yang Pernah Mencipta Nama Di Pentas Final UEFA Champions League

“Ia adalah seni, bukan nasib,” ungkap pakar supersub di era 1970-an, David Fairclough mengenai pemain gantian yang berjaya merubah kedudukan dan situasi pasukan di dalam padang.

Semuanya BOLA pernah membawakan kepada anda mengenai isu ini dalam artikel ‘Adakah Pertukaran Pemain Atau Pemain Gantian Mampu Cipta Kelainan Kepada Pasukan?‘.

Oleh itu, impak yang dipamerkan oleh pemain gantian Real Madrid, Gareth Bale adalah istimewa. Dia juga merekodkan pemain gantian pertama yang meledak dua gol di pentas akhir.

Masuk pada minit ke-61, Bale hanya memerlukan tiga minit untuk menjaringkan gol menerusi sepakan akrobatik serta gol kedua menerusi ledakan jarak jauh menewaskan Loris Karius.

Selain Bale, siapakah lagi pemain gantian yang berjaya membantu pasukan mereka menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL)? Inilah sebahagian senarai 7 supersub untuk pentas final UCL.

1) Nigel Spink (ASTON VILLA v Bayern Munich, 1982)

Nigel Spink bukanlah penyerang buat pasukan Aston Villa. Dia cuma penjaga gawang yang hanya beraksi sekali sejak dua setengah musim buat pasukannya.

Penjaga gawang utama, Jimmy Rimmer telah mengalami kecederaan berulang di leher dan pada minit ke-10, pemakai jersi nombor 16 ini telah dipanggil untuk turun beraksi.

Wakil England, Aston Villa ketika itu sedang beraksi menentang Bayern Munich di pentas akhir Piala Eropah (nama lama bagi UCL) 1982 di Rotterdam, Belanda.

Dan pemain berusia 23 tahun itu tidak mensia-siakan peluangnya dan telah mempamerkan aksi tangkas menyelamatkan percubaan demi percubaan Bayern sepanjang 80 minit beraksi.

Dikatakan juga perlawanan akhir itu umpama ‘pertarungan’ antara Bayern dan Spink. Bayern menekan dengan serangan bertubi-tubi, sementara Villa hanya mampu menjadi pemerhati.

Ketangkasan Spink di gawang adalah berita hangat ketika itu dengan juara tiga kali Piala Eropah itu hanya mampu terduduk apabila tewas dengan jaringan tipis, 0-1 kepada Villa.

Foto: Birmingham Post

2) Filho Juary (PORTO v Bayern Munich, 1987)

Bayern Munich adalah pasukan pilihan untuk memenangi kejuaraan Eropah ini, sementara Porto pula kali pertama beraksi di pentas akhir Piala Eropah (nama lama bagi UCL).

Membariskan sebahagian besar pemain-pemain yang tidak dikenali dan tidak pernah beraksi di luar Portugal, Porto jelas bukanlah pilihan para pemerhati.

Kedua-dua pasukan kehilangan pemain utama akibat kecederaan dan penggantungan antaranya penyerang, Fernando Gomes (Porto) dan kapten Bayern, Klaus Augenthaler.

Bayern terlebih dahulu mendahului perlawanan pada minit ke-25 namun, Porto bangkit di babak kedua selepas pengurus Porto, Artur Jorge membuat dua pertukaran berani.

Penyerang, Juary yang masuk menggantikan pemain tengah, Quim telah menjadi individu penting. Dia terlebih dahulu memberikan bantuan gol buat Rabah Madjer untuk gol pertama Porto.

10 minit menuju penamat, gandingan Juary dan Madjer sekali lagi berjaya menghasilkan gol kedua apabila hasil hantaran Madjer disudahkan dengan tapping oleh Juary.

Bayern akhirnya gagal memenangi kejuaraan ke-4 dalam lima penampilan mereka di pentas final Piala Eropah hasil impak kemasukan Juary bermula babak kedua.

Foto: Getty Images.

3) Patrick Kluivert (AJAX v AC Milan, 1995)

Tewas di edisi 1993, bangkit memenangi UCL pada edisi berikutnya dengan menewaskan Barcelona 4-0, AC Milan mensasarkan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya itu.

Dibarisi bintang-bintang besar antaranya Paolo Maldini dan Marcel Desailly, Milan bukanlah tandingan buat pemain-pemain muda produk akademi Ajax yang puratanya berusia 23 tahun.

Pengurus Ajax, Louis van Gaal dengan beraninya menurunkan pemain majoritinya adalah daripada akademi mereka dan hanya membariskan dua pemain berusia lebih 25 tahun.

Namun, skuad mereka bukanlah kecil-kecil anak kerana mereka baharu sahaja memenangi kejuaraan liga tanpa sebarang kekalahan dan juga belum tewas di saingan Eropah.

Berusia 18 tahun, Patrick Kluivert yang dimasukkan pada minit ke-70 diharap mampu untuk mengubah keputusan yang ketika itu agak membosankan apabila masih terikat tanpa jaringan.

Sepertimana mimpi ibunya, Kluivert muncul wira buat Ajax apabila berjaya meledak jaringan pertama dan kemenangan Ajax di pentas Eropah menewaskan Sebastiano Rossi di gawang.

Foto: Getty Images.

4) Lars Ricken ( BORUSSIA DORTMUND v Juventus, 1997)

Hanya 16 saat diperlukan oleh pemain tengah, Lars Ricken untuk menjaringkan gol ketiga buat pasukannya, Borussia Dortmund untuk menamatkan sisa perjuangan Juventus.

“Saya duduk di bangku simpanan sepanjang 70 minit, mengkaji perlawanan dan saya perasan yang Angelo Peruzzi kerap kali berada jauh dari gawang golnya.

“Dan saya terfikir yang jika saya dimasukkan, perkara pertama yang saya akan lakukan adalah melakukan percubaan, tidak kira di mana kedudukan saya,” ujar Ricken kepada media.

Dan dia merealisasikannya dengan jaringan jarak jauh yang menarik selepas dimasukkan pada minit ke-70, hasil hantaran pemain tengah, Andreas Moller.

Ricken telah meledak bola tersebut tinggi ‘ke langit malam Munich’ dari jarak 20 meter melewati penjaga gawang yang juga merangkap kapten Juventus, Peruzzi.

Juventus sebelum itu berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan penyerang gantian, Alessandro Del Piero pada minit ke-65, selepas mereka ketinggalan 2-0 di babak pertama.

Foto: imago / Buzzi

5/6) Teddy Sheringham/Ole Gunnar Solskjaer (MAN UTD v Bayern Munich, 1999)

Manchester United kehilangan dua tonggak jentera tengahnya untuk aksi final di Nou Camp apabila Paul Scholes dan kapten, Roy Keane tidak dapat beraksi kerana penggantungan.

Bayern terlebih dahulu berjaya membuka jaringan seawal minit ke-6 menerusi sepakan percuma yang telah disudahkan oleh penyerang mereka, Mario Basler.

Selepas gol itu, United dilihat menguasai sedikit perlawanan namun tiada penyudah yang berkesan malah mereka dilihat terkesan dengan ketiadaan Scholes dan Keane.

Basler yang tidak henti-henti mengancam pintu gol United telah mendorong Sir Alex untuk memasukkan penyerang, Teddy Sheringham pada minit ke-67 untuk mencari gol.

Namun, pertukaran pada minit ke-80 paling memberikan kesan apabila Ole Gunnar Solskjaer masuk menggantikan Andy Cole dan bermulalah ‘era’ benteng akhir Bayern diuji bertalu-talu.

Mungkin ini adalah antara final paling dramatik yang pernah disaksikan dengan United berjaya menjaringkan dua gol dalam minit-minit kecederaan menerusi Sheringham dan Solskjaer.

Seluruh dunia bola sepak ‘dikejutkan’ dengan kemenangan tersebut malah pemain-pemain Bayern juga dilihat seakan-akan tidak percaya dengan dua jaringan ‘pemusnah’ tersebut.

Foto: Michael Steele/EMPICS Sport.

7) Juliano Belletti (BARCELONA v Arsenal, 2006)

Kad merah buat penjaga gol, Jens Lehmann pada awal babak pertama telah menyaksikan Arsenal terpaksa berjuang dengan 10 pemain sepanjang hampir 80 minit.

Walaupun kekurangan seorang pemain, Arsenal terlebih dahulu mendahului perlawanan hasil gol tandukan pemain pertahanan, Sol Campbell pada minit ke-37.

Dan berdasarkan aksi yang dipamerkan, Arsenal dilihat mampu mengekalkan keputusan tersebut sehingga Barcelona memasukkan penyerang Sweden, Henrik Larsson pada minit ke-61.

Itulah permulaan perubahan plot cerita yang berlaku di Stade de France, Perancis. Larsson telah terlibat dalam membuat bantuan gol untuk kedua-dua gol Barcelona pada malam itu.

Pada minit ke-76, Larsson melakukan hantaran kepada Samuel Eto’o yang seterusnya berjaya menewaskan Manuel Almunia yang cemerlang memangku tugas Lehmann pada awalnya.

Hasil kombinasi dua pemain simpanan, Larsson dan Juliano Belletti yang dimasukkan pada minit ke-71 telah menghasilkan gol kedua dan kemenangan Barcelona pada minit ke-80.

Itu merupakan ‘pukulan pembunuh’ yang sangat padu daripada Belletti, menyaksikan Arsenal kelihatan sukar untuk kembali bangkit bagi memperbaiki aksi permainan mereka.

Foto: Getty Images.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN