Senarai Sebab Juventus Ambil Langkah Salah Mudah Sangat Percayakan Andrea Pirlo

Andrea Pirlo mempunyai sebab untuk rasa sugul. Porto menjaringkan gol pada minit pertama di setiap babak perlawanan untuk menewaskan Juventus di pusingan 16 pasukan terbaik menentang Juventus pada awal pagi tadi.

Mehdi Taremi mengambil kesempatan atas hantaran ke belakang lemah Rodrigo Bentacur untuk meletakkan Porto di hadapan hanya selepas 63 saat perlawanan dimulakan.

Keseluruhan perlawanan turut menggambarkan dominasi Porto di setiap bahagian permainan, walaupun percubaan akrobatik Adrien Rabiot hampir berjaya menyamakan kedudukan selepas itu.

Mousa Marega melebarkan kelebihan Porto dengan jaringan selepas 10 saat perlawanan babak kedua bermula. Sekurang-kurangnya Federico Chiesa berjaya menjaringkan satu gol pada babak akhir perlawanan dengan harapan Juventus mampu bangkit di Turin selepas ini.

Juventus telah mendominasi Serie A sejak sembilan musim yang lalu. Musim ini, skuad Andrea Pirlo ini kelihatan seperti merosot, dan perlawanan menentang Porto adalah gambaran pergelutan dalam permainan mereka.

Persoalannya ialah adakah Andrea Pirlo harus dipertanggungjawabkan atas kemerosotan Juventus pada musim ini? Adakah beliau merupakan individu yang tepat untuk menggantikan Maurizio Sarri?

Berikut adalah 5 sebab mengapa Juventus sebenarnya bersalah kerana terburu-buru memberi kepercayaan kepada Pirlo.

1. Gagal terapkan corak permainan dikehendaki

Andrea Pirlo mengambil alih jawatan pengurus Juventus dari Maurizio Sarri dengan janji untuk memperbaharui jenama kelab dengan corak permainan menyerang berteraskan pressing.

Selepas perlawanan komptitif pertama yang dikendalikannya, Pirlo berkata:

“Melihat Champions League pada musim lalu, pasukan yang mara jauh adalah pasukan yang cepat mendapatkan bola selepas kehilangan bola. Pada saya itulah karakter permainan yang harus kami ada.”

Masalahnya apabila Juventus beraksi menentang pasukan kerdil seperti Sampdoria sekali pun, skuad kendalian Pirlo bergelut untuk mempraktikkan corak permainan yang beliau kehendaki. Apatah lagi menentang pasukan yang lebih gah di Serie A dan Barcelona di Champions League.

“Buat masa ini terdapat banyak kekurangan kreativiti untuk mendapatkan bola [dengan pantas]. Kami mahu bermain corak menyerang; ia normal apabila lawan mendapat lebih banyak peluang.

“Di midfield kita memerlukan lebih banyak persefahaman di kalangan pemain. Ia mengambil masa untuk memahami gerakan antara satu sama lain. Kami sedang berusaha keras pada fasa bermain agresif. Ia harus dipercepatkan.”

Kedengaran seperti Pirlo bergelut untuk pemain-pemainnya memahami corak permainan yang beliau kehendaki.

2. Terlampau bergantung kepada Cristiano Ronaldo

Walaupun terlepas beberapa perlawanan akibat jangkitan wabak, Ronaldo yang kini berusia 35 tahun masih dianggap melakukan permulaan yang baik untuk musim 2020/21.

Kapten Portugal ini telah menjaringkan gol dalam setiap lima perlawanan Serie A dimana beliau diturunkan setakat ini. Juventus menang tiga dan seri dua dalam perlawanan tersebut.

Dalam dua perlawanan yang berkesudahan dengan seri, Ronaldo menjaringkan dua gol masing-masing menentang Roma dan Lazio untuk menyelamatkan maruah Pirlo serta melanjutkan rekod tanpa kalah Juventus di Serie A setakat ini.

Di Champions League, Juventus turut memenangi kedua-dua perlawanan apabila Ronaldo diturunkan beraksi. Dalam lima perlawanan tanpa Ronaldo, skuad Pirlo diikat pasukan kerdil Crotone, Hellas Verona dan Benevento selain tewas kepada Barcelona.

Jelas sekali Pirlo terlampau bergantung kepada kebolehan individu Ronaldo sehingga Juventus lupa bagaimana untuk menang sekiranya pemain itu tidak beraksi.

3. Gagal cari kesebelasan utama

Walaupun Cristiano Ronaldo masih pemain utama Juventus, Andrea Pirlo bagaimana pun bergelut untuk mencari kesebelasan utama terbaiknya.

Tempoh pra musim yang pendek mungkin salah satu punca untuk menguji gandingan yang diperlukan. Tetapi pemain baru yang dibawa masuk juga tidak membantu.

Sebagai contoh Arthur Melo yang dibawa masuk dari Barcelona sukar untuk mendapatkan minit perlawanan di bawah kendalian Pirlo. Contoh lain adalah Matthijs de Ligt yang tiba dari Ajax pada musim lalu. Setakat ini De Ligt hanya tampil dalam dua perlawanan untuk Juventus pada musim ini.

Prestasi tidak menentu Paulo Dybala juga tidak membantu, terutama apabila beliau diharap mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ronaldo ketika pemain Portugal itu cedera.

Tanpa Ronaldo dan Morata, Juventus juga tumpul di jentera serangan pada musim ini.

Masalah ini menjadi punca utama mengapa Juventus gagal menewaskan pasukan kerdil seperti Verona, Crotone dan Benevento. Kegagalan ini boleh menghantui mereka pada hujung musim ini.

4. Gagal selesaikan masalah pertahanan

Juventus dianggap melalui musim Serie A terburuk mereka pada musim lalu walaupun menjuarai kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut. Taktikal Sarriball yang menekankan corak bertahan secara zonal antara perkara yang dipersalahkan.

Sepanjang musim Juventus bergelut dengan corak bertahan yang mereka tidak biasa lakukan, sehingga dibolosi 43 gol – terbanyak dalam tempoh sedekad Juventus dibolosi.

Setelah diumumkan selaku pengganti Maurizio Sarri, Pirlo menggariskan antara perkara terpenting beliau akan lakukan ialah untuk menggantikan sistem bertahan secara zonal kepada man-to-man marking, dan percaya ia sistem yang lebih sesuai.

Namun selepas 21 perlawanan dilalui pada musim ini, skuad kendalian Andrea Pirlo telah dibolosi sebanyak 22 kali di Serie A. Dari segi purata ia adalah lebih dari 1 gol untuk setiap satu perlawanan.

5. Kurangnya pengalaman pengurusan di tahap tertinggi

Melantik Andrea Porlo sebagai pengurus sentiasa merupakan satu perjudian bagi pengurusan tertinggi Juventus. Mereka mungkin terpengaruh bagaimana Barcelona mengangkat Pep Guardiola ke dalam sistem satu masa dahulu, ataupun seperti Zinedine Zidane dengan Real Madrid.

Kelab tersebut berharap bekas pemain tersebut yang memiliki tempoh gemilang sebagai pemain turut mampu melakukannya di kawasan teknikal padang.

Namun apa yang dilakukan Juventus juga mungkin merupakan satu kesilapan mengambil kira Pirlo setakat ini kelihatan bergelut dalams setiap aspek pengurusan.

Pengalaman adalah salah satu perkara penting dalam bola sepak. Tatkala jurulatih seperti Zidane dan Guardiola mengasah bakat masing-masing bersama skuad remaja selama beberapa musim, Pirlo sebaliknya tidak sempat berbuat demikian dek keputusan gelojoh Juventus sendiri.

Penutup

Adakah Pirlo cukup bagus untuk terus mengemudi Juventus pada musim ini? Kami tidak tahu.

Satu perkara yang pasti Pirlo perlu mencari cara untuk mengubah Juventus. Taktikalnya mulai dipersoal dan dikritik, dan kata-kata dari beliau selepas keputusan seri dengan Benevento nyata tidak membangkitkan semangat pemainya.

Timbul pula persoalan lain. Adakah Pirlo mempunyai kualiti kepimpinan dari seorang pengurus?

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola)

Baca artikel menarik yang lain dari kami melalui pautan di bawah:

Sains Di Sebalik Lompatan Melawan Graviti ‘Air Cristiano’ Ronaldo Menentang Sassuolo

Ini Sebabnya Cavani Tolak ‘Pinangan’ Juventus Dan Pilih United

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN