Pemain Atheltic Club, Inaki Williams mempunyai rekod yang cukup unik bagi mana-mana pemain tidak kira dari apa jua liga.
Rekod yang diperoleh pemain tersebut adalah dimana beliau tidak pernah mengalami sebarang kecederaan dalam ssaingan La Liga.
Untuk rekod, Inaki tidak pernah terlepas sebarang aksi La Liga sebanyak 236 perlawanan. Ini menjadikan yang pemain tersebut tidak pernah disisihkan daripada perlawanan liga sejak 2016!
Ini menunjukkan yang beliau adalah seorang pemain yang cukup cergas dan Inaki pastinya menjadi bintang kegemaran mana-mana jurulatih dek kerana rekod kecederaannya yang bersih.
Tumpas akhirnya
Namun begitu, rekod tersebut telah berakhir dengan Inaki mengalami kecederaan yang memaksa pemain tersebut berehat untuk seketika.
Kecederaan yang dialami oleh Inaki adalah ketika Athletic memperoleh kemenangan 4-0 ke atas Cadiz dengan beliau turut menjaringkan gol pembukaan.
Menurut kenyataan rasmi oleh pihak kelab, Inaki mengalami kecederaan di bahagian ligament sebelah kaki kanannya.
Kecederaan yang lebih khusus terkena pada bahagian buku lali itu mengalami seliuh dengan Inaki terpaksa dikeluarkan lebih awal dalam perlawanan tersebut pada minit ke-54.
Atheltic bagaimana pun tidak memberikan jangka masa beberapa lama Inaki terpaksa berehat akibat buku lali terseliuh yang diterimanya.
“Penyerang Athletic Club, Inaki Williams telah terseliuh pada bahagian ligamen di kaki kanannya.
“BBeliau akan menjalani pemerhatian dan perkembangannya akan dipantau dalam beberapa hari mendatang,” tulis Athletic ringkas dalam kenyataan mereka.
🚑 MEDICAL REPORT I Update on @Williaaams45 👇@ImqEuskadi I #AthleticClub 🦁
— Athletic Club (@Athletic_en) August 30, 2022
Dengan tidak meletakkan sebarang jangkaan masa bilakah Inaki akan kembali, penglibatan pemain itu dalam aksi seterusnya menentang Espanyol berkemungkinan besar tidak akan berlaku.
Kecederaan adalah musuh utama seseorang pemain. Ada sesetengah pemain terpaksa melupakan karier impiannya kerana mengalami kecederaan serius di peringkat awal zaman beraksi.
Bagi pemain seperti Inaki, beliau adalah seorang pemain yang istimewa. Untuk tidak terlepas sebarang perlawanan liga tanpa cedera terutamanya bagi seorang penyerang – ianya satu rekod yang terlalu hebat.
Inaki adalah aset Athletic yang begitu berharga, dan pastinya ketiadaan beliau dalam beberapa perlawanan mendatang akan menjadikan penyokong kelab berasa janggal melihat senarai kesebelasan utama tanpa namanya.
Semoga cepat sembuh, Inaki Williams.