Selepas mendapat permintaan daripada banyak pihak terutama komuniti Sabak Bernam, Selangor United berhasrat kembali beraksi di Stadium Sungai Besar pada saingan Liga Premier pada musim 2020.
Perkara itu dicetuskan sendiri oleh Presiden Selangor United, Firdaus Mohamed, yang akui mereka mahu memperkasakan imej pasukan itu dengan membentuk satu rantaian kukuh dengan peminat bola sepak di Sabak Bernam dan kawasan berhampiran.
Hasrat itu turut mendapat bantuan Malaysian Football League (MFL) dalam urusan menaik taraf Stadium Sungai Besar serta kepakaran teknikal yang diperlukan bagi merealisasikan impian Selangor United.
“Tanpa penyokong bola sepak kita tidak akan ke mana-mana, kita mahu ambil semula pendekatan pada musim 2018 ketika beraksi di Piala FAM di Sungai Besar,kami meraih sokongan daripada warga di sana.
“Sokongan padu daripada komuniti Sabak Bernam telah mencantikkan dan perkasakan pasukan kami pada waktu itu dan kami berfikir mahu kembali ke Sungai Besar pada musim 2020.
“Malah MFL juga berjanji akan membantu memperkasa kelab-kelab kerdil seperti kami terutama dalam menaik taraf stadium dan itu satu perkembangan baik buat semua pasukan yang mungkin ada hasrat sama, ” katanya.
Menurut Firdaus, beliau bukan sahaja mahu mendapatkan sokongan yang lebih ramai ketika beraksi di Sungai Besar berbanding di Selayang tetapi mahu menghidupkan suasana dan menambah aktiviti bola sepak yang melibatkan komuniti di sana.
“Apabila kami bertukar tempat, kami mahu membantu komuniti Sabak Bernam yang amat dahagakan aktiviti berkaitan bola sepak di kawasan pedalaman.
“Bila adanya perlawanan seperti Liga Malaysia, ia sedikit sebanyak pasti mencetus impak dalam kalangan warga Sabak Bernam untuk hadir dan terlibat dengan segala program yang dianjurkan, ” katanya.
Dalam satu lagi perkara, Firdaus menghargai peranan MFL terutama yang sudi memberi khidmat nasihat berkaitan soal pemasaran dalam usaha menarik penaja mendekati Selangor United.
“Mulai 2020, kami mungkin tidak dapat lagi dana daripada kerajaan atau mana-mana pihak, jadi saya ada mengadakan pertemuan dengan Kevin Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif MFL) serta tertarik dengan banyak perkara diutarakan.
“Saya juga ada membuat kajian dengan apa berlaku di Jepun, iaitu salah satu kelab diwakili Hadi Fayyadh (Fagiano Okayama), mereka sendiri mampu mendapatkan 30-40 penaja yang berbentuk sumbangan kecil.
“Jadi saya rasa cadangan itu agak relevan digunakan apabila kami ke Sungai Besar dan dalam hal ini saya ucapkan terima kasih kepada MFL yang jelas memahami keperluan bola sepak tempatan dan jelas berpengalaman untuk membantu kelab-kelab seperti kami, ” katanya.
Kredit foto: Selangor United Team