Quantcast

BERITA

UCL 2019/20: Celtic, Porto Antara Nama Besar Yang Tersingkir

Ada pada satu ketika dahulu, Celtic dan Porto merupakan nama tetap dalam UEFA Champions League. Tetapi sedangkan batu pun boleh berubah bentuk dek titisan air menerusi masa, begitu juga dengan bola sepak.

Awal pagi tadi, Celtic dan Porto masing-masing gagal melayakkan diri ke pusingan play-off UEFA Champions League 2019/20 (pusingan kelayakan terakhir sebelum masuk ke peringkat kumpulan) selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Lennon: Celtic tumbang kerana membazir

Celtic tewas kepada juara liga Romania, CFR Cluj 4-5 melalui agregat. Terikat 1-1 di halaman lawan, juara liga Scotland itu bagaimanapun mempamerkan persembahan yang mengecewakan – terutamanya di bahagian pertahanan – untuk kalah 3-4 di Celtic Park.

“Gol pertama adalah amaran untuk kami. Gol kedua adalah kesilapan individu. Gol ketiga, kami ada banyak pertahanan di belakang, tapi kami biar sahaja pemain lawan berlari dan membuat percubaan. Gol keempat itu saya faham kerana kami sedang menyerang untuk mendapatkan gol,” jelas Neil Lennon mengenai gol yang ditembusi pertahanannya.

“Kami mempunyai banyak peluang (17 percubaan berbanding CFR Cluj yang hanya mempunyai 7), tapi kami bazirkan 45 minit pertama. Jika kami main sebaik separuh masa kedua, kami boleh layak,” rungut pengurus Celtic itu lagi.

Lennon juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan keputusannya untuk tidak menurunkan bek kiri barunya, Boli Bolingoli. Sebaliknya meletakkan pemain tengah, Callum McGregor di posisi tersebut; satu keputusan yang dikritik hebat penyokong Celtic

“Saya tak rasa itu mempengaruhi keputusan malam ini. Saya buat kerana nak pastikan Olivier Ntcham dapat bermain di tengah kerana beliau sedang berada dalam prestasi baik. Boli pula tak konsisten dengan prestasinya,” jelas Lennon.

Celtic kini akan turun ke aksi play-off UEFA Europa League, di mana mereka akan bertemu pemenang antara AIK Stockholm dan Sheriff. Stockholm sedang mendahului 2-1 dan akan melayan kunjungan pelawat dari Moldova itu di halaman mereka nanti.

Porto merosot pasca penjualan bintang

Sementara itu naib juara liga Portugal, Porto juga menerima nasib sama seperti Celtic apabila tumpas di halaman sendiri untuk tersingkir dari UEFA Champions League.

Menang tipis 1-0 ke atas pasukan tempat ke-3 liga Russia, FC Krasnodar, Porto dijangka mampu menyudahkan tugasan mereka di Estádio do Dragão.

Tetapi bencana yang ditunjukkan oleh barisan pertahanan mereka pada separuh masa pertama memadam impian mereka selepas tewas 2-3.

Secara agregat, kedua-dua pasukan terikat 3-3. Tetapi Krasnodar layak kerana menjaringkan lebih banyak gol di tempat lawan.

Ini adalah kali pertama dalam 10 tahun Porto terlepas aksi UEFA Champions League. Peminat Porto rata-ratanya menyalahkan penjualan pemain-pemain bintang mereka seperti Yacine Brahimi, Hector Herrera, Eder Militão, Felipe dan Oliver Torres sebagai punca kemerosotan pasukan mereka.