Quantcast

LIGA MALAYSIA

Jelius Ating: Penyokong Perlu Buang Tanggapan Negatif Terhadap Liga Malaysia

Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating berharap penyokong bola sepak negara dapat mengubah mentaliti dan persepsi dalam menilai perjalanan Liga Malaysia ke arah yang lebih positif seandainya ingin melihat perkembangan bola sepak tanah air terus meningkat.

Jelasnya, sesuatu liga itu tidak akan lancar tanpa sokongan padu daripada penyokong sendiri selain kemeriahan bola sepak itu juga bergantung kepada tahap sokongan yang diberikan mereka dalam setiap perlawanan.

Jelius berkata, penyokong perlu membuang pandangan yang terlalu negatif terhadap Liga Malaysia kerana identiti sesuatu sukan itu bergantung kepada cara para penyokong mencerminkan sukan bola sepak itu sendiri.

Beliau mengakui masih ada beberapa kelemahan dalam perjalanan liga di Malaysia, tetapi adalah lebih baik seandainya semua pihak bekerjasama dalam memberikan pandangan dan cadangan untuk perbaiki kekurangan yang ada tanpa perlu menunding jari sesama sediri.

“Saingan liga bola sepak kita sebenarnya bergantung kepada pandangan penyokong itu sendiri di mana penyokong itulah yang menjadi kekuatan terhadap perkembangan sukan ini.

“Kita memang tak boleh nak nafikan apa yang akan diperkatakan oleh sesetengah orang, tetapi kita sendiri yang boleh ubah mentaliti kita untuk lebih positif dalam memberikan sokongan kepada liga Malaysia.

“Jika kita lihat ia ke arah negatif, maka negatiflah sukan bola sepak ini dan sekiranya ramai yang mempunyai persepsi yang lebih membina, saya percaya Liga Malaysia akan terus meningkat saban tahun.

“Ada sesetengah pihak mungkin melihat liga ini agak membosankan apabila ada yang mempertikaikan saingan tidak terlalu sengit tetapi saya merasakan semua pasukan sentiasa berusaha keras untuk memastikan kemeriahan liga akan selalu ada”, katanya.

Menyentuh mengenai pasukan pula, Jelius tetap mengingatkan anak buahnya untuk tidak terlalu menikmati kejayaan menjuarai Liga Premier musim ini terlalu lama sehingga boleh menjejaskan tumpuan untuk lebih bersedia dalam saingan Liga Super tahun hadapan.

Itu antara yang menjadi kunci utama dipegang oleh Jelius yang juga bekas pemain Sabah era 90an ini kerana enggan menghampakan harapan penyokong sejati yang cukup teruja menanti aksi mereka dalam kancah Liga Super 2020.

“Selain kita nak tengok penyokong ubah persepsi mereka ke arah lebih positif terhadap liga bolasepak tempatan, pasukan-pasukan juga perlu ada mentaliti yang sama dalam usaha untuk terus meningkatkan prestasi.

“Jangan kita dibuai dengan kejayaan terlalu lama sebaliknya jadikan ia sebagai penanda aras untuk terus menuju ke hadapan kerana cabaran sebenar baru sahaja bermula.

“Jika terlalu bangga dengan sesuatu pencapaian itu, percayalah, ia tidak akan kemana kerana bukan mudah untuk kita pertahankan prestasi pasukan dengan lebih cemerlang”, jelasnya.

Musim skuad Tembadao belum berakhir apabila kini sedang bersaing dalam Kumpulan C Piala Malaysia.