Selangor kembali ke aksi Liga Super pada malam ini dengan misi untuk meraih semula kemenangan selepas perlawanan yang lalu.
Pada aksi yang lalu, Selangor ‘dipukul’ sehebat-hebatnya oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri sekali gus menamatkan perjuangan Piala FA mereka apabila kalah 4-0.
Dalam kekalahan tersebut, Selangor mengalami kesukaran untuk mengejar dan menandingi intensiti permainan JDT hingga menyebabkan dua pemain mereka mengalami kecederaan.
Dua pemain tersebut adalah tonggak pertahanan iaitu Yazan al-Arab dan Fazly Mazlan.
Kedua-dua tonggak ini dikeluarkan pada separuh masa pertama dalam perlawanan tersebut dengan Khuzaimi Piee dan Zikri Khalili menggantikan kedua-dua pemain itu.
Kini dalam tugasan Liga Super, Khuzaimi dan Zikri dijangka akan diberikan kepercayaan sekali lagi untuk mengemudi pertahanan Selangor.
Walaupun beraksi tanpa dua pemain utama, pengendali Selangor iaitu Tan Cheng Hoe tidak mahu menanggap perkara tersebut sebagai sebuah kesulitan.
Beliau tidak mahu isu kecederaan di posisi pertahanan akan mematahkan usaha Selangor untuk meraih kemenangan ke atas Kuching sekali gus melengkapkan kemenangan berganda ke atas kelab Borneo itu dalam saingan liga musim ini.
“Sebagai seorang ketua jurulatih, saya mahu pasukan pandang ke arah positif untuk memudahkan persiapan perlawanan-perlawanan seterusnya. Fokus kali ini adalah untuk lakukan yang terbaik dalam liga terutamanya untuk perlawanan esok [malam ini].
“Kita perlu beraksi dengan lebih yakin dan konsisten untuk menjadi antara pasukan yang terbaik dalam kancah bola sepak Malaysia. Setiap perlawanan saya akan sentiasa mengingatkan pemain-pemain untuk yakin dengan diri dan pasukan kerana ia akan membantu pasukan mempunyai harapan yang tinggi untuk mendapatkan keputusan yang dimahukan,” kata Cheng Hoe menerusi laman rasmi Selangor.
Terdahulu, Selangor membenam cabaran Kuching pada aksi pertama di Sarawak dengan kemenangan 5-0 pada aksi kedua liga.
Kemenangan di Kelana Jaya malam ini akan mengukuhkan cengkaman Selangor ditangga kedua liga.